
LIMBANG: Pembangunan yang sedang dilaksanakan serta dirancang bertujuan menyediakan kemudahan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan pedalaman Sarawak, khususnya di Limbang, digalakkan memanfaatkan pembukaan kawasan baharu serta jaringan perhubungan darat untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Berawan di Dewan Serbaguna Kampung Berawan, malam tadi.

Seterusnya, Dr Abdul Rahman memaklumkan bahawa hampir semua daripada 46 kampung di kawasan tersebut telah mempunyai jalan raya, kecuali empat kampung yang kini telah diperuntukkan pembinaannya.
Beliau turut menegaskan bahawa projek-projek mega seperti Lebuh Raya Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR), Lebuh Raya Pantai Utara dan Lebuh Raya Trans Borneo dijangka menjadi pemangkin utama ekonomi Limbang menjelang 2030, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak komited menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk program seperti SKAS serta bantuan tambahan untuk golongan B40 yang akan diumumkan, selaras dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Turut hadir, Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Limbang, Suriani Yussop; Penghulu Yusop Dollah; Ketua Kampung Berawan, Kalong @ Bakar Tembol; Ketua Kampung Bakol, Kassim Adam serta kenamaan tempatan lain.
Oleh Adeng Edrus