KUCHING: Rancangan menaik taraf tiga pasar iaitu Pasar Sungai Maong (Batu 3), Batu 7 dan Batu 10 masih dalam proses, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan itu kepada Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU).
“Kami sebenarnya masih menunggu peruntukan dari kerajaan negeri untuk melaksanakan projek ini.
“Buat masa ini kami belum menerima sebarang maklum balas, tetapi majlis telah mengemukakan cadangan itu dan kami hanya berharap yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan majlis rumah terbuka yang dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediamannya di sini, hari ini.
Lo juga mennjelaskan bahawa tiga projek tersebut mungkin memakan dana sekitar RM10 juta sehingga RM20 juta.
“Majlis juga telah melakukan tindakan susulan sejak sekian lama. Namun, ada lagi, banyak perkara yang kita mahu bangunkan, bukan sahaja pasar.
“Projek ini adalah bagi membesarkan ruang tiga pasar itu selain menambah gerai yang ada,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT