Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Pelan MHIT asas perkukuh akses insurans perubatan mampu milik
  • KESIHATAN

Pelan MHIT asas perkukuh akses insurans perubatan mampu milik

Utusan Sarawak 4 hours ago
AHLI Parlimen Miri, Chiew Choon Man (kanan) bersama bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni (kiri). 

MIRI: Pemuktamadan konsep Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT Asas) disifatkan sebagai satu langkah besar ke arah pembaharuan sistem insurans perubatan negara yang lebih mampu milik dan mampan, kata Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

Menurut beliau, pengumuman empat inisiatif utama oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan (JBMKKS) pada 22 Januari lalu di bawah inisiatif RESET merupakan satu perkembangan penting kerana ia menangani isu kenaikan premium secara menyeluruh dan berasaskan ekosistem.

“Buat pertama kalinya, pendekatan yang diumumkan bukan hanya tertumpu kepada kawalan premium, tetapi turut memberi penekanan kepada ketelusan harga, literasi pengguna, perlindungan asas yang lebih meluas serta insentif untuk meningkatkan akses penjagaan kesihatan kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Chiew berkata, penerbitan kertas putih mengenai pelan MHIT Asas sebagai pelan standard dan mampu milik merupakan isyarat jelas komitmen kerajaan dalam menangani isu kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia atas keputusan memuktamadkan hala tuju dasar tersebut, selain menghargai sumbangan rakan-rakan di Kementerian Kesihatan termasuk bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dalam perbincangan awal pembentukan ekosistem ini.

Menurut Chiew, pelaksanaan pelan MHIT Asas akan dibuat secara berfasa, dengan projek rintis disasarkan pada separuh kedua 2026 dan pelaksanaan penuh dijangka bermula pada awal 2027.

“Pelan ini bertujuan menyediakan perlindungan yang bermakna kepada rakyat Malaysia pada kadar premium yang mampu milik, khususnya bagi membiayai kos rawatan kesihatan yang tinggi.

“Ia juga meluaskan pilihan kepada mereka yang ketika ini tidak dilindungi insurans atau ingin menukar pelan sedia ada akibat pelarasan premium dan perubahan kedudukan kewangan,” katanya.

Tambah beliau, sistem penjagaan kesihatan awam akan terus menyediakan akses sejagat kepada semua rakyat Malaysia, manakala pelan MHIT Asas berfungsi sebagai pilihan tambahan bagi mereka yang mampu mendapatkan perlindungan penjagaan kesihatan swasta secara berterusan.

Chiew menjelaskan bahawa kadar premium pelan MHIT Asas akan ditetapkan oleh pihak berkuasa berdasarkan prinsip aktuari yang kukuh dan pendekatan pemeringkatan bagi memastikan kadar yang adil serta mampu milik, terutamanya kepada kumpulan yang lebih terdedah.

“Pelan MHIT Asas direka sebagai pelan ringkas yang meliputi kebanyakan prosedur lazim. Bagi mereka yang memerlukan perlindungan lebih tinggi, pelan tambahan yang ditawarkan oleh pengendali insurans dan takaful (ITO) boleh dipertimbangkan mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pemegang polisi sedia ada boleh beralih kepada pelan MHIT
Asas dengan pengendali yang sama tanpa pengunderaitan semula dan tanpa tempoh menunggu, dengan maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh ITO masing-masing menjelang pelancaran rasmi pelan itu pada 2027.

Mengulas pandangan berbeza dalam kalangan masyarakat, Chiew berkata pelan MHIT Asas masih berada pada peringkat konseptual dan penambahbaikan reka bentuk.

“Namun yang paling penting ialah Kerajaan kini secara rasmi mengiktiraf isu kenaikan premium sebagai isu dasar yang perlu ditangani.

Daripada asas yang lebih tersusun dan terkawal inilah kita boleh teruskan libat urus dan penambahbaikan berterusan supaya matlamat dasar ini benar-benar tercapai,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: MBKS teruskan komitmen sosial menerusi kempen derma darah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.