
LONDON: Sarawak Sustainability Blueprint 2030 atau Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 akan dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada penghujung Mei ini.
Ia merupakan pelan strategik bagi peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau dan merangkumi 10 teras strategik, 48 strategi dan 111 pelan tindakan dengan sasaran untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 10 gigawatt (GW) dan 70 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.
Untuk rekod, pelan induk tersebut baharu sahaja dimuktamadkan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak.

Sebelum itu Premier Sarawak bersama delegasi kerajaan Sarawak telah mengadakan sesi meja bulat berprofil tinggi bersama para sarjana dan pakar di London School of Economics and Political Science (LSE) dengan fokus utama terhadap strategi pembangunan lestari dan pertumbuhan hijau hari ini waktu tempatan.
Sesi ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara akademia dan penggubal dasar dalam memacu pertumbuhan mampan dan ketahanan iklim.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut berkongsi mengenai dasar hijau baharu Sarawak yang bakal diperkenalkan, termasuk Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai peneraju serantau dalam pembangunan mampan dan tenaga bersih.
Dialog di LSE turut menekankan pentingnya perkongsian strategik dan pertukaran ilmu pengetahuan dalam merealisasikan aspirasi kelestarian Sarawak dengan komitmen bersama untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan keterangkuman sosial.
Sementara itu, pihak LSE turut menyatakan minat mereka untuk menjalin kerjasama dengan Sarawak dalam pelbagai sektor, termasuk pemuliharaan hutan, perkhidmatan kewangan, pendidikan dan perubahan iklim. – UKAS