KUCHING: Tindakan akan diambil terhadap mereka yang membuang 20 ekor bangkai khinzir yang disyaki mati akibat Demam Babi Afrika (ASF) di Jalan Semadang-Jambusan, Bau.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Dr Adrian Susin Ambud berkata, pihaknya bersama Majlis Daerah Bau (MDB) akan mengambil tindakan itu hari ini.
“Sebanyak 20 ekor khinzir mati dibuang di situ. Ia mati akibat ASF dan disyaki dibuang dari Bau,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak sebentar tadi.
Beliau berkata, JPVS akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya dan mengukuhkan pengawasan ke semua ladang khinzir di Sarawak.
Antara tindakan yang boleh diambil terhadap pesalah mengikut Seksyen 29 iaitu pelupusan haiwan, boleh dikenakan denda RM2,000, pelupusan haiwan mati Seksyen 32 dengan denda sebanyak RM1,000.
Beliau berkata, jika beroperasi tanpa lesen, akan dikenakan denda sebanyak RM5,000 dan penutupan ladang di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Katanya, daging khinzir yang dijual di pasaran adalah selamat untuk dimakan manusia kerana dibekalkan dari ladang bebas penyakit.
“Saiz khinzir yang dijual sedikit lebih kecil dari sebelumnya dan kenaikan harga daging khinzir kerana pengurangan populasi khinzir,” katanya.