Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Pelaksanaan SST diperluas: Kejutan fiskal yang menjadi bualan ramai
  • BISNES

Pelaksanaan SST diperluas: Kejutan fiskal yang menjadi bualan ramai

Utusan Sarawak 2 days ago
GAMBAR hiasan.


KUCHING:
Langkah Kerajaan MADANI memperluas skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 Julai lalu kini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan industri dan pemain ekonomi, terutama sektor perkilangan dan eksport utama negara seperti industri perkayuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA), Annie Ting, dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa langkah tersebut, yang diumumkan pada 9 Jun lalu dan dilaksanakan serentak dengan Fasa 3 pelaksanaan e-invois, menambahkan beban kepatuhan dan kekeliruan yang ketara kepada pihak industri, khususnya pengeluar barangan bercukai dan tidak bercukai serentak.

Menurut beliau, walaupun matlamat kerajaan memperluas SST adalah bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas, implikasinya terhadap kos operasi dan kecekapan perniagaan tidak dapat diketepikan.

“Sektor perkayuan, sebagai contoh, kini berdepan cabaran baharu apabila barangan seperti kayu gergaji dan papan lapis yang sebelum ini dikecualikan cukai, kini dikenakan cukai jualan antara lima hingga 10 peratus.

“Mekanisme pengecualian bahan mentah yang kompleks pula menambah kerumitan, menyebabkan pengeluar sukar membezakan antara produk bercukai dan tidak bercukai,” jelasnya.

STA turut menegaskan bahawa kesan berlapis dalam sistem SST di mana cukai dikenakan berulang kali sepanjang rantaian bekalan secara langsung meningkatkan kos perniagaan dan akhirnya menjejaskan harga kepada pengguna akhir.

Dalam kenyataan itu, STA menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan SST secara tergesa-gesa tanpa libat urus mendalam berisiko mendatangkan penalti kepada syarikat yang mungkin gagal mematuhi peraturan disebabkan kekeliruan terhadap tafsiran perundangan.

Sebagai penyelesaian jangka panjang, STA mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) versi baharu yang lebih telus, cekap dan menyeluruh.

“Berbeza dengan SST, GST bersifat pelbagai peringkat dan membolehkan kredit cukai input dituntut, sekali gus mengurangkan kesan berlapis dan ketirisan dalam kutipan hasil negara,” tambahnya.

Mengimbas kembali sejarah pelaksanaan GST di Malaysia, sistem itu mula diperkenalkan pada April 2015 pada kadar enam peratus sebelum dimansuhkan selepas pertukaran kerajaan pada Mei 2018 dan digantikan semula dengan SST 2.0 pada September tahun yang sama.

STA berpandangan bahawa kebanyakan syarikat masih mempunyai sistem perakaunan yang bersedia untuk GST, malah tenaga kerja juga telah biasa dengan proses pematuhan berdasarkan pengalaman lalu. Oleh itu, tempoh persiapan selama enam bulan sudah mencukupi sekiranya kerajaan mahu melaksanakannya semula.

Bagi mengurangkan impak inflasi sekiranya GST diperkenalkan semula, STA mencadangkan kadar permulaan yang lebih rendah, misalnya tiga peratus dan disertai bantuan bersasar kepada golongan B40 serta pengecualian cukai untuk barangan asas, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

Sebagai kesimpulan, STA menyifatkan peluasan SST sebagai langkah jangka pendek yang wajar dikaji semula kerana ia lebih menambahkan beban daripada menyelesaikan masalah struktural fiskal negara.

“Apa jua bentuk reformasi percukaian, sama ada SST atau GST 2.0, mestilah berteraskan ketelusan, akauntabiliti dan integriti. Kejayaan kutipan hasil negara amat bergantung kepada keyakinan awam terhadap tadbir urus kewangan negara,” jelasnya.

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Ringgit mengukuh dalam sentimen perdagangan berhati-hati
Next: Proton sasar eksport 6,000 unit kenderaan tahun ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.