Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pelaksanaan semula UPSR, PT3: KPM perlu tekankan rangka kerja pendidikan mantap
  • PENDIDIKAN

Pelaksanaan semula UPSR, PT3: KPM perlu tekankan rangka kerja pendidikan mantap

Utusan Sarawak 17 hours ago
KETUA Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie.

SIBU: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempunyai Rangka Kerja Pendidikan Kebangsaan yang jelas dan menyeluruh bagi memastikan pelajar tidak terjejas akibat perubahan dasar yang kerap.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, pengumuman mengenai kemungkinan pengembalian semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memberi gambaran seolah-olah sistem pendidikan negara kekurangan hala tuju yang jelas.

Menurutnya, ketiadaan perincian terperinci berhubung perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan guru.

“Dasar pendidikan memerlukan perancangan jangka panjang serta pelan hala tuju yang tersusun bagi menyediakan pelajar menghadapi dunia yang semakin kompleks. Pelajar tidak seharusnya terkesan akibat perubahan dasar yang berulang,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan akan menjalankan kajian mengenai kemungkinan mengembalikan semula UPSR dan PT3.

Lau yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Asaan berkata, tumpuan segera perlu diberikan kepada usaha memperkasa guru termasuk meningkatkan latihan profesional dan mengurangkan beban kerja bukan pengajaran akibat tugasan pentadbiran yang berlebihan.

Katanya, langkah itu akan membolehkan guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran di bilik darjah serta aktiviti kokurikulum bagi pembangunan holistik pelajar.

“Sekiranya berlaku sebarang perubahan terhadap sukatan pelajaran kebangsaan, KPM juga perlu memperkukuhkan intervensi awal dan program pemulihan bersasar di peringkat sekolah rendah bagi memastikan setiap murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

“Ini penting dalam membina asas pembelajaran yang kukuh supaya pelajar dapat berkembang dengan yakin dan lebih bersedia untuk pembelajaran pada masa hadapan,” ujarnya.

Di Sarawak, katanya, kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam memacu pelaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP) dengan penekanan terhadap bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan hala tuju yang jelas dan berpandangan jauh dalam membangunkan kumpulan bakat, khususnya bagi mempersiapkan golongan muda menghadapi industri masa hadapan termasuk tenaga hijau dan ekonomi yang lebih berdaya tahan.

“Kita kini berada dalam dunia yang pantas dan sangat berdaya saing. Kekuatan sistem pendidikan hari ini akan menentukan daya saing industri dan ekonomi negara pada masa hadapan.

“Oleh itu, reformasi pendidikan mesti konsisten, dirancang dengan teliti serta berfokus kepada hasil jangka panjang dengan kaedah pelaksanaan yang jelas dan telus agar ibu bapa serta pendidik mempunyai keyakinan terhadap sistem ini,” katanya.

Lau menegaskan, Pemuda SUPP berpendirian bahawa kestabilan dasar, sokongan kukuh kepada guru, intervensi awal serta akses saksama kepada pendidikan berkualiti khususnya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat sumber perlu kekal sebagai teras utama dalam sebarang reformasi pendidikan pada masa hadapan.

Oleh Akun Giman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Usaha tingkat keberkesanan PdPc, SMK Bandar Bintangor terima 12 projektor LCD

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.