PANTU: Perlaksanaan projek pertanian moden di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan nanti akan terus diperkembang sejajar dengan Perancangan Strategik Jawatankuasa Pembangunan Sri Aman (SADA) 2021-2030.
Wakil rakyatnya, Datuk Mong Dagang berkata, usaha berkenaan terbukti apabila Kerajaan Sarawak merancang mahu membuka membuka Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Lachau untuk kepentingan para petani di sini.
“Untuk makluman, pembukaan CPPC Lachau telah pun dirancang dengan pusat itu nanti akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil pertanian yang akan memberi manfaat terutamanya kepada para petani di Daerah Kecil Pantu.
“Antara hasil pertanian yang akan dikumpul dan diproses di sini misalnya adalah rambutan. Hasil rambutan tersebut akan terus diproses untuk produk hiliran seperti jem, rambutan kering dan produk makanan tin,” kata beliau.
Beliau ketika menghadiri Community Extension Outreach Programme (CEOP) anjuran Jabatan Pertanian Daerah Pantu di Selanjan Sebemban Asal juga memberitahu penubuhan CPPC Lachau juga akan dapat mengelak berlakun lambakan hasil rambutan di kawasan ini.
Selain cadangan penubuhan CPPC Lachau, projek pertanian moden bagi kawasan DUN Bukit Begunan kata Mong juga turut diperhebat dengan adanya Projek Penanaman Kacang Sacha Inchi di Sapak, Pantu pada masa sekarang.
“Penanaman Kacang Sacha Inchi di Sapak, Pantu ini adalah yang terbesar dalam dalam negara kita apabila projek pertanian moden itu telah melibatkan penggunaan tanah seluas 20 hektar di kawasan tersebut.
“Projek ini bakal memberi keuntungan kepada penduduk yang terlibat memandangkan minyak omega yang dihasilkan oleh tumbuhan itu kian mendapat permintaan daripada penggunanya dalam negara ini pada masa sekarang,” katanya.
Justeru, Mong berharap agar penduduk terus memberi sokongan terhadap Perancangan Strategik SADA 2021-2030 ini demi mempercepatkan lagi proses pembangunan Bahagian Sri Aman khususnya DUN Bukit Begunan pada masa akan datang.
Beliau ketika hadir pada CEOP itu turut mengumum peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Marphy Selanjan Sebemban Asal dengan RM5,000 diumum kepada biro wanita JKKK tersebut.
Terdahulu CEOP anjuran Jabatan Pertanian Daerah Pantu ini bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran penduduk dalam sektor pertanian moden luar bandar bagi DUN Bukit Begunan.
Ia juga bertujuan untuk mempertingkat pendapatan dan taraf hidup keluarga tani di sini dengan antara strategi perlaksanaan CEOP ini adalah melaksanakan latihan, latihan in-situ dan lawatan ke projek pertanian yang sudah berjaya.
Oleh Valentine Ngumbang