
PUTRAJAYA: Inisiatif pelaksanaan dan pengeluaran MyKad dan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu masih berada dalam jadual yang ditetapkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini permohonan baharu bagi MyKad dan PMA akan menggunakan stok sedia ada kerana baki stok dokumen berkenaan masih mencukupi untuk tempoh beberapa bulan lagi.
“Saya cuma sebut bahawa kedua-duanya (inisiatif baharu MyKad dan PMA) masih lagi berada di landasan (pelaksanaan).
“… walaupun kita akan mengeluarkan versi baharu, tetapi tidak bermakna stok yang bertahan dua hingga tiga bulan itu kita kena musnahkan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata stok sedia ada MyKad atau PMA perlu diuruskan dengan baik dan ia digunakan sepenuhnya sebelum peralihan ke dokumen versi baharu.
“Sebarang permohonan kad pengenalan baharu, kita akan menggunakan stok lama yang masih berbaki misalnya permohonan MyKad untuk anak-anak yang berumur 12 tahun. Itu dalam sebulan dalam 35,000 permohonan.
“Jadi MyKad ini kita akan keluarkan masih lagi berdasarkan stok lama atau kontrak lama. Itu yang kita buat dan sehingga selesai yang itu, barulah inisiatif baru akan mengambil tempat,” katanya.
Sebelum ini Saifuddin Nasution berkata Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara. – Bernama