
LOS ANGELES: Pelakon Amerika Syarikat, Isiah Whitlock Jr., yang terkenal menerusi wataknya sebagai ahli politik korup dalam drama jenayah HBO The Wire, meninggal dunia pada usia 71 tahun pada Selasa, menurut pengurusnya.
Pengurusnya, Brian Liebman, mengesahkan perkara itu menerusi media sosial dengan menyifatkan Whitlock sebagai seorang pelakon berbakat besar dan insan yang luar biasa. “Jika anda mengenalinya, anda pasti menyayanginya,” katanya.
Whitlock mencuri perhatian penonton sebagai Clay Davis, seorang ahli politik licik dalam The Wire, drama terkenal hasil karya bekas wartawan David Simon yang mengisahkan dunia gelap pengedaran dadah dan politik jenayah di Baltimore, Maryland.
Wataknya dikenali dengan frasa ikonik “sheeeee-it” yang menjadi sebutan peminat siri tersebut.
Simon turut memberi penghormatan kepada Whitlock dengan memuat naik gambarnya di media sosial bagi mengenang pemergian pelakon berkenaan.
Sepanjang kerjaya yang menjangkau beberapa dekad, Whitlock mengumpul lebih 125 kredit lakonan dan sering bekerjasama dengan pengarah tersohor Spike Lee.
Antara filem lakonannya termasuk She Hate Me, 25th Hour, Red Hook Summer, Chi-Raq, BlacKkKlansman dan Da 5 Bloods.
Spike Lee menyifatkan Whitlock sebagai “saudara tersayang” dalam satu hantaran di media sosial sambil berkongsi foto mereka bersama.
Selain itu, Whitlock turut dikenali menerusi peranannya sebagai Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat dalam siri komedi satira Veep.
Beliau juga pernah muncul dalam filem Goodfellas arahan Martin Scorsese serta menyumbangkan suara dalam filem animasi seperti Lightyear dan Cars 3.
Dilahirkan di Indiana dan dibesarkan dalam keluarga besar seramai 10 orang adik-beradik, Whitlock merupakan graduan Southwest State University dan menerima latihan drama di American Conservatory Theater, San Francisco. – AFP
Top of Form