
SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menggesa para pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dan merebut peluang pendidikan tertiari percuma yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.
Beliau berkata, peluang pendidikan dalam bidang-bidang yang relevan di institusi pengajian tinggi di Sarawak perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar bagi membina masa depan yang lebih cerah.
Menurutnya, usaha gigih, disiplin dan kesungguhan dalam menuntut ilmu merupakan kunci utama untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Seri Gamang (ASGA) Sesi 2024/2025 Pusat Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.
Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para pelajar yang diraikan atas pencapaian cemerlang yang telah diraih sepanjang sesi pengajian mereka.
Katanya, kejayaan yang dicapai oleh para pelajar mencerminkan ketekunan, disiplin serta kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.

Doris turut berharap pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha meningkatkan prestasi akademik dan mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru, ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sentiasa memberikan sokongan padu dalam membentuk generasi berilmu dan berdaya saing.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan, beliau turut menyumbang sebanyak RM12,000 kepada Tabung PIBG SMK Sri Aman bagi menyokong pelbagai aktiviti sekolah termasuk Pusat Tingkatan Enam.
Beliau berharap para pelajar yang diraikan akan terus melakar kejayaan pada masa hadapan sekali gus mengharumkan nama sekolah, Sri Aman dan Sarawak di peringkat yang lebih tinggi.
Oleh Adi Safarman