KUCHING: Pelajar SMK St Joseph, Lois Lu Chen Zhi muncul juara sulung Sarawak Cabaran Pengucapan Awam Bahasa Inggeris atau English Public Speaking Challenge (SEPSC) 2026 yang dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak.
Pertandingan yang berlangsung pada 6 dan 7 Ogos lalu di kampus Swinburne Sarawak itu menghimpunkan 65 pelajar daripada 15 sekolah menengah dari bahagian Kuching, Serian, Sibu dan Sarikei.
Inesh Dhayal dari SMK Batu Lintang muncul naib juara, manakala Celine Voon Yih Jia dari SMK Sungai Maong menduduki tempat ketiga.
Dua lagi finalis, Lazarus Carlos dari SMK St Joseph dan Nicole Au Jia Min dari SMK Sungai Maong masing-masing menerima anugerah Sangat Dipuji (Highly Commended).
Selain kategori utama, pertandingan turut mengiktiraf kecemerlangan peserta menerusi anugerah Pembahas Terbaik (Ucapan Disediakan), Pembahas Terbaik (Ucapan Spontan) dan Pembahas Terbaik Bahagian bagi empat bahagian yang mengambil bahagian.

Inesh turut mencatat pencapaian berganda apabila memenangi anugerah Pembahas Terbaik (Ucapan Disediakan), Pembahas Terbaik (Ucapan Spontan) dan Pembahas Terbaik bagi Bahagian Kuching.
Sementara itu, Cassendrea Chai Chen Yi dari SMK Rosli Dhoby, Olivia Bara dari SMK Balai Ringin dan Danysha April Wong Kaixyn dari SMK St Anthony masing-masing menerima anugerah Pembahas Terbaik bagi bahagian Sibu, Serian dan Sarikei.
Pertandingan sulung berkenaan dianjurkan sebagai platform untuk memperkukuh kemahiran komunikasi bahasa Inggeris, pemikiran kritis, kepimpinan dan pengucapan awam dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Sarawak.
Peserta diuji menerusi dua kategori iaitu Ucapan Disediakan dan Ucapan Spontan, yang memerlukan mereka menyampaikan idea dengan berkesan selain menyusun hujah dan berfikir secara kritis dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurut Lois, pertandingan berkenaan mencabarnya keluar daripada zon selesa selain memberi peluang mengenali rakan baharu daripada pelbagai latar belakang.
Beliau turut menggalakkan pelajar lain menceburi bidang pengucapan awam sebagai langkah membina keyakinan dan mengembangkan potensi diri.
SEPSC 2026 dianjurkan bersama MEITD dan Swinburne Sarawak dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
Penganjur menyasarkan pertandingan berkenaan menjadi program tahunan serta diperluas ke semua bahagian di Sarawak pada masa akan datang.
Oleh Shikin Mahmud




