
SIBU: Seramai 103 pelajar daripada Kelab Pembimbing Rakan Sebaya dan Rakan Kerjaya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sibu bersama guru pengiring telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS), baru-baru ini.
Lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai suasana pembelajaran di institusi pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah naungan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Sepanjang lawatan, para pelajar diberikan taklimat berkaitan program pengajian yang ditawarkan di kolej berkenaan, termasuk Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL) di KKSRCS serta Sijil Kulinari (SKU) dan Sijil Teknologi Maklumat (STM) yang ditawarkan di kampus induk, Kolej Komuniti Sarikei.
Selain itu, pelajar turut berpeluang melawat kemudahan pembelajaran seperti makmal komputer, bilik kuliah, restoran simulasi, agensi pelancongan simulasi dan ruang pameran produk inovasi pelajar.
Bagi kemasukan ke program-program tersebut, syarat minimum ialah sekurang-kurangnya satu kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta lulus dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah.
Bagi program Teknologi Maklumat pula, calon perlu memperoleh kelulusan dalam subjek Matematik.
Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Norasmah Jaafar, berkata lawatan seumpama itu mampu membuka minda pelajar tentang peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran yang kini semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran kerja.
“Kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelajar sekolah dan komuniti setempat untuk mengenali lebih dekat peranan serta tawaran program di Kolej Komuniti, seiring dengan slogan ‘TVET For All’,” katanya.
Oleh Tarani Lanting