
Pelajar sekolah, IPTA dan IPTS seluruh Sarawak dijemput menyahut cabaran dan berkongsi suara anda demi kelestarian alam sekitar melalui Pertandingan Video Pendek 2025!
MIRI: Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Miri mempelawa semua pelajar sekolah serta penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta di seluruh negeri untuk menyertai Pertandingan Video Pendek 2025, sempena Seminar Sarawak Lestari 2025.
Pertandingan ini berlangsung dari 4 Jun hingga 30 Jun ini dengan tema “Kelestarian Alam Sekitar”.
Tema ini dipilih bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya golongan pelajar tentang pentingnya memelihara alam sekitar.
Pertandingan ini turut bertujuan menggalakkan penglibatan dan kreativiti golongan muda dalam menyampaikan mesej pemuliharaan secara berkesan dan inovatif.
Inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan Sarawak ke arah pembangunan mampan serta menangani isu global seperti perubahan iklim dan pencemaran, melalui pendekatan pendidikan dan penyertaan komuniti.
Hadiah menarik berupa wang tunai disediakan untuk para pemenang iaitu Tempat Pertama (RM1,000), Tempat Kedua (RM800), dan Tempat Ketiga (RM600).
Sepanjang tempoh pertandingan, peserta digalakkan menghasilkan video yang mengandungi elemen pendidikan, kesedaran, dan seruan tindakan berkaitan isu-isu kelestarian seperti pencemaran, perubahan iklim, kitar semula, pemuliharaan hutan, dan biodiversiti.
Borang pendaftaran serta terma dan syarat pertandingan boleh didapati di pautan berikut: https://shorturl.at/ukg1E atau dengan mengimbas Kod QR pada poster rasmi.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Mohamad Nizam Abang Takip atau Zuwahir Ilias di talian 085-422525.
Oleh Liong Chai Ling