Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pelajar sekolah layak nikmati persekitaran pembelajaran selamat
  • PENDIDIKAN

Pelajar sekolah layak nikmati persekitaran pembelajaran selamat

Utusan Sarawak 10 hours ago
LUCAS Lau.

SIBU: Setiap pelajar sekolah adalah pengguna perkhidmatan pendidikan dan mereka mempunyai hak mutlak untuk berada di persekitaran yang selamat, seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). 

Namun realitinya hari ini, hak itu semakin terancam apabila sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pembelajaran kian dicemari jenayah yang mengancam keselamatan pelajar.

Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Wilayah Sarawak menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan kes jenayah serius di institusi pendidikan, termasuk cubaan membunuh, serangan seksual dan keganasan fizikal, yang disifatkan sebagai kegagalan sistemik dalam melindungi hak pelajar.

Yang Di-Pertua MTPN Sarawak, Lucas Lau, berkata sudah tiba masanya semua pihak menyedari bahawa pelajar bukan sekadar ‘murid’, tetapi juga pengguna sah perkhidmatan yang disediakan oleh negara melalui sistem pendidikan. 

Maka, segala bentuk kegagalan untuk melindungi mereka bukan sekadar masalah disiplin, tetapi adalah pelanggaran hak asasi yang dijamin undang-undang.

“Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) secara jelas menyatakan bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk hidup dan dibesarkan dalam suasana yang selamat dan melindungi mereka daripada sebarang bentuk penderaan, keganasan atau pengabaian,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, peningkatan insiden jenayah di sekolah menunjukkan bahawa prinsip asas dalam Akta tersebut telah dicabuli secara terang-terangan. 

Malah, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara turut menggariskan keperluan masyarakat, termasuk institusi pendidikan, untuk memastikan kepentingan terbaik kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan.

Dalam konteks ini, MTPN Sarawak menggesa agar tindakan segera dan tegas diambil bagi memperkukuh keselamatan pelajar di sekolah. 

Lau berkata, pihaknya amat kesal apabila terdapat kejadian jenayah yang berlaku di kawasan sekolah, termasuk di dalam tandas dan sudut-sudut terpencil yang kurang pemantauan, sehingga menyebabkan pelajar menjadi mangsa tanpa perlindungan.

Beliau mencadangkan agar sekolah melaksanakan semula Sistem Rakan Pendamping (Buddy System) sebagai salah satu mekanisme asas perlindungan sesama pelajar. 

Sistem ini, katanya, bukan sahaja mengurangkan risiko pelajar menjadi mangsa apabila bersendirian, malah membantu membina budaya tanggungjawab dan kebersamaan dalam kalangan pelajar.

Selain itu, Lau turut menyarankan agar pihak sekolah menetapkan peraturan yang lebih ketat bagi kawasan tertutup seperti tandas, yang sering menjadi lokasi risiko tinggi bagi kes-kes serangan seksual dan fizikal. 

Menurutnya, pelajar perempuan khususnya perlu diarahkan untuk hanya menggunakan kemudahan tersebut secara berpasangan atau berkumpulan, agar keselamatan mereka lebih terjamin.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa agar guru dan kakitangan sekolah diberikan latihan intensif untuk mengenal pasti tanda-tanda awal tingkah laku agresif dalam kalangan pelajar, serta dibekalkan kemahiran asas dalam pengurusan krisis dan kaunseling. 

Beliau menambah bahawa pemantauan yang lebih kerap di kawasan yang terasing juga perlu dilakukan dengan lebih konsisten.

Lau menekankan bahawa keselamatan fizikal dan mental pelajar bukanlah isu pilihan, tetapi satu tanggungjawab undang-undang yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan.

“Jika kita gagal melindungi pelajar di tempat mereka belajar, kita bukan sahaja gagal sebagai pendidik atau pentadbir, tetapi kita juga telah gagal sebagai masyarakat.

Undang-undang sudah wujud, dasar sudah digariskan sekarang terpulang kepada kita untuk bertindak,” tegas beliau.

MTPN Sarawak turut menggesa agar Kementerian Pendidikan dan agensi keselamatan mempergiatkan usaha mewujudkan suasana sekolah yang benar-benar selamat, bebas daripada sebarang bentuk ancaman jenayah.

“Pelajar adalah pengguna muda yang paling berharga. Mereka berhak untuk menuntut keselamatan. Dan kita semua wajib memastikan hak itu tidak terus dicabuli,” tambahnya.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Legasi Tun Taib diabadikan dalam cadangan nama Dewan Politeknik Mukah
Next: MEITD komited tingkatkan pendidikan berkualiti dan inklusif

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.