
MIRI: Pelajar sekolah menengah dinasihatkan untuk mendapatkan lesen motosikal bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Mereka juga disarankan untuk mengikuti kursus keselamatan jalan raya agar menjadi penunggang motosikal yang berhemah.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, para pelajar juga digalakkan mengikuti kursus keselamatan jalan raya sebagai persediaan menjadi penunggang yang bertanggungjawab.
“Saya mahu anda semua, khususnya para pelajar, menunggang motosikal dengan selamat. Ini sangat penting,” katanya ketika merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Motosikal Kelas B2 di Dewan Dato Permaisuri, Permyjaya, di sini, hari ini.
Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif MyLesen B2, yang bertujuan membantu pelajar, terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah untuk memiliki lesen motosikal secara sah dan mampu milik.
Seramai 663 pelajar dari 18 sekolah menengah sekitar Miri menyertai program berkenaan, yang menawarkan bayaran serendah RM250 sahaja berbanding kos asal RM750, dengan baki RM500 ditanggung melalui subsidi kerajaan.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Oleh Liong Chai Ling