Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pelajar Sarawak rayu bantuan, krisis air di UMS berlarutan
  • SEMASA

Pelajar Sarawak rayu bantuan, krisis air di UMS berlarutan

Utusan Sarawak 2 days ago
MUHAMMAD Rasul Rozmiezan.

KUCHING: Seorang mahasiswa dari Sarawak, Muhammad Rasul Rozmiezan tampil menyuarakan kebimbangan menerusi surat terbuka kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg susulan krisis bekalan air yang berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali gus menjejaskan kehidupan harian pelajar.

Surat bertarikh 23 Mei itu bukan sekadar luahan peribadi, tetapi satu rayuan mewakili hampir 1,000 pelajar Sarawak di UMS dan juga rakan-rakan mereka dari Sabah yang turut terkesan.

“Ini bukan soal politik. Ini soal maruah. Kami hanya mahu kehidupan yang normal, cukup dengan air bersih untuk mandi, membasuh dan keperluan asas harian,” katanya dalam surat tersebut.

“Ini bukan tentang saya. Saya cuma mahu ada yang ambil peduli,” ujar Rasul. 

“Kami jauh dari keluarga, cuba untuk kuat, tetapi keadaan ini benar-benar menjejaskan kami,” tambahnya lagi. 

“Kadang-kadang kami langsung tidak mendapat bekalan air selama dua atau tiga hari berturut-turut. Kami akan isi apa sahaja bekas yang ada dan cuba bertahan,” katanya, sambil menambah situasi ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu tanpa penyelesaian konkrit daripada pihak pengurusan kampus.

Rasul, pelajar tahun kedua jurusan sosiologi dari Kuching, menggambarkan bagaimana pelajar terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa air, menyimpan dalam baldi, mandi secara berjimat, dan hidup dalam keadaan tidak menentu.

Mengulas mengenai perkara itu, Premier Sarawak dalam kenyataannya mengakui menerima surat terbuka berkenaan dan menyampaikan penghargaan atas makluman yang diberi. Namun, beliau menjelaskan bahawa isu tersebut berada di luar bidang kuasanya.

Walaupun begitu, beliau berjanji untuk membawa isu tersebut ke perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Masalah bekalan air di UMS telah menjadi isu berlarutan yang menimbulkan ketidakselesaan dan tekanan dalam kalangan pelajar. Keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai tahap pengurusan kemudahan asas di institusi pendidikan tinggi awam.

“UMS sepatutnya menjadi tempat menuntut ilmu, bukan tempat di mana kami belajar untuk hidup tanpa keperluan asas,” tambah Rasul.

Oleh Norman B.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Salcra perkenal sistem SRORS tingkat kecekapan, kurang pembaziran sawit
Next: DUN: Klinik Kesihatan baharu dirancang di lokasi strategik seluruh Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.