
BELAGA: Inisiatif Politeknik Mukah (PMU) menganjurkan Program Jalinan Kasih Komuniti Uma Daro di Sungai Asap mendapat pujian Senator Michael Mujah Lihan yang menyifatkannya sebagai langkah positif dalam merapatkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat, baru-baru ini.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berlangsung dari 13 hingga 15 Mac itu dianjurkan oleh pelajar Semester 5 Diploma Sains Kesetiausahaan (DSK5A) Jabatan Perdagangan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Daro.
Seramai 23 pelajar bersama empat pensyarah Jabatan Perdagangan terlibat secara langsung dalam menjayakan program tersebut yang turut disertai komuniti setempat.
Michael berkata, program seumpama itu memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati masyarakat sambil menyumbang kepada pembangunan komuniti luar bandar.

“Program seperti ini amat baik kerana ia membuka ruang kepada pelajar untuk turun padang dan memahami kehidupan masyarakat setempat. Pada masa sama, komuniti juga mendapat manfaat melalui aktiviti yang dilaksanakan bersama,” katanya.
Beliau turut berharap hubungan antara PMU dan komuniti setempat akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan lebih banyak program pada masa akan datang.
“Saya berharap Politeknik Mukah akan sentiasa meneruskan usaha menjalin hubungan erat dengan komuniti seperti ini. Program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat perlu diteruskan kerana ia memberi impak positif kepada kedua-dua pihak,” tambahnya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti kemasyarakatan dijalankan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan kampung, sesi Town Hall berkaitan pembangunan dan pendidikan, Sungkei Ramadan serta Malam Kebudayaan yang menampilkan keunikan budaya masyarakat setempat.
Ketua Jabatan Perdagangan Politeknik Mukah, Adi Jaya Adam berkata program tersebut memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kursus Pengurusan Program di samping membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.

Menurutnya, pengalaman turun padang seperti itu amat bermakna kerana pelajar dapat belajar secara langsung melalui interaksi bersama komuniti.
Selain itu, para pelajar turut menjalankan aktiviti penanaman pokok sebagai simbol kenangan dan lambang jalinan persahabatan antara PMU dan komuniti Uma Daro.
Program tersebut turut mendapat sokongan barisan kepimpinan komuniti termasuk Pemanca Umek Jeno, Maran Uma Tuan Huvang Liah, JKKK Uma Daro, Biro Wanita serta seluruh komuniti yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.