
MIRI: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menggesa pelajar agar tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya turut menumpukan kepada pembentukan sahsiah dan kemahiran diri bagi menghadapi cabaran masa depan.
Menurutnya, kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum yang membentuk keperibadian dan kepimpinan pelajar secara menyeluruh.
“Pelajar yang aktif dalam kokurikulum akan memiliki nilai kepimpinan, semangat berpasukan dan disiplin tinggi.
“Ini adalah ciri penting bagi membentuk generasi muda yang berdaya saing dan berwawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPC) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau di sini, hari ini.
Lee turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan sekolah, guru serta warga SMK Merbau atas kejayaan menganjurkan majlis yang penuh bermakna itu bagi menghargai pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan pelajar hari ini adalah hasil usaha berterusan dan pengorbanan ramai pihak termasuk ibu bapa dan guru yang sentiasa memberi dorongan serta bimbingan.
“Saya ingin mengingatkan pelajar supaya tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian yang ada, sebaliknya menjadikan kejayaan ini sebagai inspirasi untuk terus melangkah lebih jauh,” ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan menyeluruh yang menyeimbangkan aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Beliau turut memuji pelaksanaan program sekolah seperti Majlis Duta Sahsiah dan Program Pemantapan Sahsiah Diri yang membantu membentuk pelajar berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik.
Selain itu, beliau menggesa pelajar agar memanfaatkan peluang pendidikan dan latihan yang disediakan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) bagi membina masa depan yang lebih cemerlang.
“Sarawak kini memerlukan tenaga muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif dalam bidang teknikal, vokasional, teknologi maklumat, tenaga hijau dan kejuruteraan bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030,” jelasnya.
Oleh Liong Chai Ling