





POLIS menemukan dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tikaman yang menyebabkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut di sebuah sekolah di sini, pagi tadi. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin Mamat, berkata mangsa ditemukan berdekatan kawasan tandas sekolah dengan beberapa kesan tikaman pada badan, manakala suspek — seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dari sekolah sama — telah ditahan di tempat kejadian bagi membantu siasatan. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya pagi tadi.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah manakala suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah berjaya ditahan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kenyataan lanjut mengenai kes berkenaan akan dikongsi oleh Ketua Polis Selangor dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Anti Buli di sini hari ini.
Terdahulu, media memetik sumber melaporkan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Petaling Jaya maut disyaki ditikam seorang pelajar lain pagi tadi.- Bernama