
LAWAS: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencabul anak saudaranya yang juga seorang pelajar sekolah menengah ketika mangsa menumpang tidur di rumah suspek semasa cuti hujung minggu baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata suspek berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Lawas Damit selepas polis menerima laporan daripada mangsa pada 3.17 petang, Ahad lepas.
“Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota polis telah menyerbu rumah suspek dan berjaya menahannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan satu laras senapang patah dan tiga butir peluru, dan siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang lesen senjata api.
“Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut,” jelas Liong.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Dalam operasi berasingan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah sekitar 9.50 malam.
“Pemeriksaan di dalam rumah, kereta dan motosikal suspek tidak menemui sebarang barang salah, namun ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Tambah beliau, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.