
SIBU: Pelajar yang memiliki Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) layak untuk melanjutkan pengajian ke universiti-universiti terkemuka di negeri ini tanpa sebarang sekatan kuota.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapaee, berkata kerajaan negeri mengiktiraf kelayakan UEC sepenuhnya dan tidak mengenakan sebarang had kemasukan terhadap pemegang sijil berkenaan.
“Tiada kuota peratusan. Jika anda memenuhi syarat akademik, anda dialu-alukan untuk memohon. Kami mengiktiraf UEC,” katanya dalam sesi Town Hall bersama pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) di Sekolah Menengah Wong Nai Siong, di sini, hari ini.
Dr Annuar, berkata pelajar UEC boleh memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Swinburne University of Technology Sarawak dan Curtin University Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, berkata UTS kini mempunyai seramai 43 pelajar UEC, namun angka itu hanya mewakili kira-kira satu peratus daripada keseluruhan pelajar.
“Saya berharap angka ini akan meningkat secara ketara pada tahun hadapan. Ini adalah peluang besar untuk anda semua,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengakui terdapat cabaran dalam kalangan pelajar UEC khususnya dalam penguasaan Bahasa Inggeris meskipun mereka menunjukkan pencapaian akademik yang baik.
“Jika anda tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, anda mungkin perlu mengambil kelas tambahan. Tetapi anda tetap boleh masuk,” katanya sambil menggalakkan pihak sekolah untuk memperkukuh aspek penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar.
Tambahnya, kerajaan negeri juga komited menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang berprestasi tinggi, termasuk tawaran elaun sehingga RM15,000 setahun kepada mereka yang mencapai keputusan cemerlang.
“Pelajar UEC yang layak harus merebut peluang ini. Dengan kelayakan yang diiktiraf, penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dan akses kepada bantuan kewangan, pelajar sekolah persendirian Cina mempunyai masa depan yang cerah dalam institusi pengajian tinggi tempatan,” katanya.
Dr Annuar turut menyeru pihak pentadbir sekolah dan ibu bapa untuk terus menyokong pendekatan pendidikan inklusif yang digariskan kerajaan.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Adana Jed, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Les Met, dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Swasta Cina Bahagian Sibu Temenggung Dato Vincent Lau.
Oleh Tarani Lanting