
PANTU: Pelajar luar bandar di negeri ini perlu berusaha bersungguh-sungguh menguasai bahasa Inggeris, kerana penguasaan bahasa tersebut mampu membuka peluang lebih luas dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie, berkata kerajaan Sarawak komited melengkapkan pelajar dengan ilmu akademik dan kemahiran Bahasa Inggeris, yang merupakan bahasa global dan penting dalam pelbagai bidang masa kini dan masa depan.
“Dalam konteks pembelajaran di sekolah, bahasa Inggeris tidak boleh diketepikan kerana ia merupakan bahasa dunia.
“Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris, memandangkan sebahagian besar penyelidikan, penemuan dan maklumat teknikal diterbitkan dalam bahasa ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Highly Immersive Programme (HIP) – Dual Language Programme (DLP) yang melibatkan 11 buah sekolah dari Zon Pantu, bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Munggu Bringin, semalam.
Doris turut menyuarakan harapan untuk melihat Bahagian Sri Aman mencapai kemajuan menyeluruh, khususnya dalam bidang pendidikan, dengan matlamat menjadikan bahagian tersebut sifar buta huruf menjelang 2030.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program pendidikan dan kesedaran oleh agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs), Sarawak Skills, serta semua badan berkaitan yang beroperasi di Sri Aman.
“Langkah ke hadapan bergantung kepada pendidikan. Kita memerlukan masyarakat yang berilmu untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital masa kini,” tambahnya.
Doris turut menggesa kerjasama berterusan daripada ibu bapa, guru dan masyarakat setempat dalam memupuk minat terhadap pendidikan, sebagai asas membina masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak dan generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman