
SPAOH: Pelajar di kawasan luar bandar negeri ini harus berusaha bersungguh-sungguh bagi menguasai bahasa Inggeris.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bahasa berkenaan akan membolehkan mereka menghadapi dunia dan pelbagai cabaran baharu.
“Dengan penguasaan bahasa Inggeris, anak-anak akan dapat berkomunikasi dengan orang lain di dunia dan terus berhubung dengan semua perkembangan terkini di seluruh dunia.
“Ia sekali gus menjadikan peluang mendapatkan pekerjaan yang baik menjadi sangat cerah,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Program Karnival Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Gayau di sini, hari ini.
Sebanyak enam sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban telah mengambil bahagian dalam program selama dua hari tersebut, yang bertujuan menggalakkan kecintaan dan kecemerlangan dalam bahasa Inggeris.
Mengulas lanjut, Uggah menambah atas sebab-sebab itulah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sangat tegas mengenai keperluan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua negeri ini
“Sebab itu kita ada Program Dwibahasa dan Sarawak kini merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang melaksanakannya,” ujarnya.

Sementara itu, Uggah turut berkata ibu bapa di sini tidak perlu tergesa-gesa untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Antarabangsa Sarawak di Kuching apabila mereka dipilih untuk menghadirinya.
“Saya dengar ada ibu bapa enggan menghantar anak ke institusi berprestij itu kerana jarak yang jauh, ini amat menyedihkan kerana masa depan adalah milik anak-anak mereka yang berpeluang berpendidikan tinggi dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik,” tegasnya.
Menyentuh mengenai cadangan Sekolah Menengah Antarabangsa Betong di bawah Yayasan Sarawak, beliau berkata pihak kerajaan negeri masih mencari lokasi paling strategik untuk membinanya.
Beliau turut mengumumkan tender pembinaan dewan yang lebih besar dan lebih baik untuk SK Nanga Gayau, yang bernilai RM900,000, dijangka bermula pada bulan depan.
Menurut beliau, jalan masuk baharu yang bernilai RM300,000 untuk sekolah itu kini dalam pembinaan manakala RM2.7 juta telah diluluskan bagi pembinaan jejantas ke sekolah di atas Lebuh Raya Pan Borneo.
Pada masa sama, Uggah berkata Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah memperuntukkan RM3 juta untuk membantu pembangunan semua sekolah di DUN Bukit Saban.
Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu yang turut hadir pada majlis tersebut menggesa para pelajar supaya memupuk rasa cinta terhadap bahasa Inggeris.
“Bahasa itu tidak boleh dianggap hanya sebagai subjek dalam jadual waktu harian anda. Cintailah, kembangkan dan amalkan kemahiran anda di dalamnya. Ia akan menjadi kunci untuk membuka banyak pintu peluang kerana ia adalah bahasa global,” katanya.
Oleh Adi Safarman