
KUCHING: Kejayaan pelajar dari kawasan luar bandar dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) peringkat negeri membuktikan mereka mampu bersaing setanding dengan pelajar lain sekiranya diberikan pendedahan, sumber serta bimbingan yang mencukupi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pencapaian sekolah dari kawasan seperti Serian, Kapit dan Daro menjadi bukti jelas potensi besar pelajar luar bandar dalam bidang teknologi.
Menurutnya, dalam program perintis NRC 2025 yang berlangsung dari 17 hingga 19 Julai lalu di Universiti Curtin, Miri, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 35, Serian muncul naib juara kategori Robomission Junior.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah, Daro meraih tempat ketiga manakala SMK Kapit menduduki tempat kelima dalam kategori Robomission Rookie peringkat menengah rendah.
“Pencapaian ini jelas mencerminkan potensi besar pelajar kami apabila diberi peluang dan bimbingan yang betul.
“Saya amat berbangga kerana sekolah ini datang dari kawasan luar bandar, namun mampu mencapai tahap setanding dengan pelajar lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kit Robotik sempena Program Pembangunan NRC Peringkat Negeri 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperluas pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pembangunan teknologi.
“Program pembangunan tersebut akan diteruskan tahun ini dengan penglibatan 60 sekolah, melibatkan 30 sekolah rendah dan 30 sekolah menengah dari seluruh Sarawak.
“Setiap sekolah terpilih akan menerima kit robotik yang ditaja kementerian, manakala guru akan mengikuti bengkel Latihan untuk Jurulatih (TOT) yang dikendalikan oleh Sasbadi bagi memperkukuh keupayaan membimbing pelajar.
“Sekolah terlibat seterusnya akan menyertai NRC Peringkat Negeri 2026 yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 30 Julai ini di Sibu,” jelasnya.
Tambah beliau, program ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan tahun lalu yang melibatkan 13 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dengan kesemua 26 pasukan berjaya menyertai pertandingan peringkat negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak turut mencatat kejayaan apabila muncul juara keseluruhan kebangsaan sebanyak 10 kali sepanjang tempoh 2014 hingga 2025.
Malaysia juga berjaya muncul juara keseluruhan World Robot Olympiad 2025 dengan penyertaan pasukan dari Sarawak yang turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Datu Adana Jed, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli, Pengarah Sasbadi Learning Solution Sdn Bhd Kevin Wan serta Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Pelajar) Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad.