
JELEBU, 10 Jan -- Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu para pelajar yang menaiki bot tempur menyusuri Sungai Triang bagi membawa pergi dan balik para pelajar yang memulakan sesi pembelajaran bermula hari ini di tiga sekolah berdekatan ekoran laluan utama ke sekolah berkenaan terletak di Kampung Jerang terputus hubungan akibat dibadai banjir besar yang melanda baru-baru ini. ??Negeri Sembilan antara negeri di bawah kumpulan B yang memulakan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 selain Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.??Seramai 194,345 pelajar memulakan sesi persekolahan hari ini merangkumi 107,522 murid di 352 Sekolah Kebangsaan (SK) manakala 86,823 pelajar di 126 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).??--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA?

JELEBU: Pengalaman pertama kali menyeberangi sungai menaiki bot tempur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada hari permulaan sekolah mengujakan pelajar yang tinggal di Kampung Bemban, dekat sini.
Laluan utama ke sekolah berkenaan yang terletak di Kampung Jerang itu terputus akibat banjir besar baru-baru ini apabila jambatan yang menghubungkan kedua-dua kampung itu musnah dan kini dalam kerja pembinaan semula oleh pihak Jabatan Kerja Raya.
Seawal 6.30 pagi, anggota ATM telah bersedia dengan sebuah bot bagi membawa kira-kira 20 pelajar berkenaan ke sekolah dengan menyeberangi Sungai Triang menaiki bot pada hari pertama pembukaan sekolah semalam.
Bot tempur sepanjang 12 kaki itu dilengkapi jaket penyelamat untuk kegunaan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tipus, SK Simpang Durian, SK Sungai Buloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir.
Biarpun tidak sampai lima minit menyeberangi Sungai Triang itu, Nur Syuhada Zainal, 10 tahun berasa seronok dan bersemangat untuk ke sekolah bersama rakan-rakan.
Sebelum jambatan itu rosak, dia menaiki kereta dipandu ibunya dan permulaan sesi persekolahan semalam adalah pengalaman pertama menaiki bot ke sekolah serta pulang ke rumahnya di Kampung Bemban.
“Ini merupakan pertama kali saya naik bot ke sekolah, sangat seronok…selalunya ayah hantar saya menaiki motosikal, kali ini sangat berbeza, ini pengalaman yang sangat menyeronokkan,” kata Ahmad Nuzul Haikal Mohd Rosdi, 4.