
SIMANGGANG: Seperti yang sedia maklum, Sarawak kini sedang pesat membangun dalam pelbagai sektor seperti industri minyak dan gas, pertanian moden, perniagaan digital serta pelancongan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata pelajar yang cemerlang dalam bidang sains dan teknologi boleh menyertai industri kejuruteraan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Bagi yang meminati bidang ekonomi dan perniagaan, terdapat peluang yang luas dalam keusahawanan dan perbankan. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk membangunkan kerjaya yang berjaya di negeri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi Seri Gamang (ASGA) Pusat Tingkatan Enam sesi persekolahan 2023/2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, dekat sini hari ini.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata di Bandar Simanggang tidak ketinggalan menyediakan peluang kepada para pelajar untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dalam aliran teknikal dengan beroperasinya Sarawak Skills Cawangan Sri Aman.
“Di masa hadapan kita telah merancang untuk mendirikan kampus tetap Sarawak Skills bagi memenuhi permintaan para pelajar lepasan sekolah di Bahagian Sri Aman dan bahagian lain yang berminat mengikuti kursus yang ditawarkan.
“Bagi menyokong komitmen berterusan, kementerian saya iaitu Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak telah banyak menyalurkan peruntukan untuk memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran selari dengan aspirasi Sarawak,” katanya.

Harden menambah, bentuk program yang telah dilaksanakan ialah Dual Language Program (DLP), Raspberry Pi, School Enhancement Education Programme (SEEP), pertandingan reka cipta robotik di peringkat sekolah rendah dan menengah dan banyak lagi yang menjurus kepada menanam minat para pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dan bidang Sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya mengharapkan langkah pelajar seterusnya adalah memilih jalan sendiri bagi merebut peluang yang telah disediakan oleh kerajaan sama ada peluang kerjaya atau peluang melanjutkan pendidikan.
*Kerajaan Sarawak sangat komited untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dengan mewujudkan institusi teknikal selaras dengan kehendak pasaran kerja yang mengutamakan aspirasi pembangunan Sarawak.
“Di Sarawak kita telah mewujudkan beberapa institusi khas yang menawarkan jurusan TVET seperti University of Technology Sarawak (UTS), Curtin University, Swinburne University of Technology, i-CAT University College. Terdapat juga jurusan teknikal yang menawarkan dari peringkat sijil hingga diploma seperti CENTEXS, Sarawak Skills, Kolej Laila Taib dan berbagai lagi institusi teknikal di Sarawak,” katanya.
Pada majlis tersebut juga Harden telah meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sri Aman.
Oleh Adi Saparman