KOTA SAMARAHAN: Pelajar di Sarawak khususnya perlu mempertimbangkan untuk memasuki aliran sains.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, ini kerana statistik menunjukkan bilangan pelajar memasuki aliran sains di Sarawak masih agak rendah dan kerjasama diperlukan untuk mengubahnya.
“Dengan memasuki aliran sains, pelajar akan berpeluang untuk meneroka dan mengembangkan kemahiran mereka.
“Bidang seperti matematik, fizik, kimia dan biologi, semua ini penting untuk kerjaya masa depan dalam pelbagai bidang termasuk sains data.
“Sains data ialah bidang yang baharu muncul, menggunakan kaedah matematik dan statistik untuk menganalisis dan mentafsir set data yang kompleks,” kata beliau pada penutupan UMach 2023 di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi, dengan peningkatan penggunaan teknologi dalam pelbagai sektor, permintaan untuk saintis data semakin meningkat. Oleh itu, adalah penting untuk pelajar kita dilengkapi dengan kemahiran matematik yang kukuh.
Cabaran Matematik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2023 atau UNIMAS Mathematics Challenge (UMaCh) satu inisiatif yang menggalakkan pembangunan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di samping menggalakkan inovasi dan kreativiti pelajar dalam bidang matematik.
Harden berkata, program seperti UMaCh bukan sahaja menyediakan platform untuk pelajar mempamerkan bakat tetapi memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengambil minat dalam matematik dan meneruskan kerjaya dalam bidang berkaitan STEM.
“Ini amat penting dalam era digital semasa di mana teknologi dan inovasi mengubah dunia kita pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kami di Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MElTD) percaya bahawa STEM penting untuk pembangunan ekonomi dan asas yang kukuh dalam mata pelajaran justeru penting untuk pelajar bersaing dalam ekonomi global.
“Ini selaras dengan konsep Malaysia Madani dalam membentuk masa depan negara yang mana ia menekankan kepentingan masyarakat berilmu dan berkemahiran, yang mampu bersaing dalam ekonomi global dan memacu pembangunan negara,” katanya.
Pada masa sama, Harden turut berterima kasih kepada pihak UNIMAS kerana dengan adanya penganjuran UMach, secara tidak langsung akan membawa impak yang baik terhadap pendidikan STEM di Sarawak.
“Saya harap program ini memberi inspirasi kepada semua pelajar untuk terus mengembangkan kemahiran matematik dan meneruskan minat untuk subjek yang menarik ini,” katanya lagi.
UMach berjaya menarik lebih 70 pasukan yang kebanyakannya dari Sarawak tetapi turut menerima penyertaan dari Selangor, Johor, Melaka, Pahang, Pulau Pinang serta Indonesia dan Pakistan.
Oleh NICKELYSON LAKUN