
SIBU: Para pelajar digesa agar tidak menjadi sebahagian daripada masalah penghijrahan tenaga mahir atau ‘brain drain’, sebaliknya kembali menabur bakti demi pembangunan negara selepas menamatkan pengajian di luar negara.
Seruan itu disampaikan Setiausaha Syarikat Kumpulan HCK Capital, Datin Adeline Hii, yang menegaskan bahawa berkhidmat untuk tanah air sendiri adalah satu bentuk sumbangan mulia yang mencerminkan semangat cintakan negara.
“Memang indah melanjutkan pelajaran di luar negara untuk meneroka dan merasai pengalaman dunia, namun pendidikan itu akan menjadi lebih bermakna apabila kita membawa pulang ilmu dan pengalaman untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ucapan dan Penyampaian Hadiah SMK Sacred Heart di sini, hari ini.
Adeline yang juga anak kepada pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan HCK Capital, Tan Sri Clement Hii, turut berkongsi pengalamannya sendiri sebagai contoh.
Katanya, selepas menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan di Brisbane, Australia, beliau bersama bakal suaminya ketika itu, Dr. Dennis Ling (kini Datuk) mengambil keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur sekitar 12 tahun lalu bagi membantu menguruskan perniagaan keluarga.
“Saya percaya kita tidak harus lupa asal usul. Jadilah insan yang memberi makna kepada ilmu dengan cara kembali berbakti,” ujarnya yang juga seorang akauntan bertauliah.
Dalam ucapannya, Adeline turut menasihatkan pelajar agar sentiasa merendah diri, tabah dan tidak mudah berputus asa dalam menempuh perjalanan hidup.
“Sepanjang hidup, kita akan berjumpa ramai orang yang mungkin memberi pengaruh secara langsung atau tidak langsung kepada kita. Jadi, sentiasalah bersikap rendah diri dan terus berusaha,” nasihatnya.
Beliau turut menggalakkan pelajar yang masih mencari arah masa depan agar meneroka minat serta mengenal pasti kekuatan diri masing-masing.
“Setiap pelajar adalah individu yang unik. Kenal pasti apa yang anda suka dan tidak suka, serta temui di mana bakat dan kelebihan anda,” katanya sambil menasihatkan agar mereka sentiasa mendapatkan panduan daripada guru, rakan dan ibu bapa sebelum membuat keputusan berkaitan kerjaya.
Sementara itu, Pengetua SMK Sacred Heart, David Teo, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Clement Hii atas sumbangan dermawan beliau selama 22 tahun yang banyak membantu menjayakan majlis berkenaan.
Teo, yang telah menerajui sekolah itu selama 12 tahun, berkata kejayaan pelajar merupakan hasil kerja keras, ketabahan dan semangat tidak mengenal putus asa, selain dedikasi guru serta sokongan padu ibu bapa dan komuniti setempat.
Pada majlis berkenaan, seramai 297 penerima terdiri daripada pelajar dan guru menerima Anugerah Kecemerlangan atas pencapaian masing-masing.
Oleh Tarani Lanting