Pelajar 17 tahun maut nahas motosikal di Jalan Tukau

Facebook
WhatsApp
MAUT...Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta di Jalan Tukau berhampiran SMK Agama Miri, pagi tadi.

MIRI: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tukau, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Miri, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku sekitar 8.25 pagi.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun dalam perjalanan dari arah bandar Miri menuju ke Jalan Bakam.

“Ketika pemandu kereta berkenaan memasuki simpang kanan di Jalan Tukau, kenderaan itu dilanggar motosikal yang ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nor Afifah Nordin di talian 019-5264640 atau 085-430479 bagi membantu siasatan.

Oleh Liong Chai Ling