
LAWAS: Kerajaan Sarawak sentiasa mengalu-alukan pelabur yang komited untuk bersama kerajaan membangunkan sektor ekonomi negeri, terutamanya di kawasan luar bandar yang berpotensi tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata penglibatan sektor swasta merupakan pemacu utama dalam menjayakan pembangunan lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
“Sektor swasta merupakan rakan strategik kerajaan dalam melaksanakan projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada ekonomi dan kemudahan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, pelaburan oleh kumpulan syarikat LaPaPa dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di daerah Lawas.
Projek pembangunan bernilai RM150 juta itu merangkumi 150 unit apartmen, sebuah hotel 50 bilik, premis perniagaan serta taman tema air yang kini sedang giat dibangunkan
Projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk tempatan.
Dalam masa yang sama, kerajaan Sarawak terus melaksanakan pelbagai projek infrastruktur bagi menyokong pembangunan di daerah ini, termasuk pelebaran jalan raya serta penyambungan bekalan elektrik dari Limbang ke Lawas melalui grid negeri yang dijangka siap pada Oktober ini.
Selain itu, turut dilaksanakan ialah pembinaan loji rawatan air baharu di Pengalih bagi memperkukuh bekalan air bersih, serta naik taraf kemudahan telekomunikasi untuk memastikan capaian digital yang lebih baik kepada penduduk.
“Semua ini adalah untuk memastikan infrastruktur asas mencukupi bagi menyokong pertumbuhan pesat yang sedang berlaku di Lawas,” jelas beliau semasa lawatan ke tapak projek LaPaPa di Jalan Gaya, hari ini.
Awang Tengah turut memaklumkan bahawa beberapa projek mega lain bakal menyusul di daerah ini, antaranya lapangan terbang baharu Lawas, projek NCH dan Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR).
Projek ini akan menjadi asas penting dalam menjadikan Lawas sebagai destinasi ekopelancongan utama di utara Sarawak, sekali gus merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, logistik dan perkhidmatan.
Sementara itu, Pengerusi LaPaPa, Lee Chin Teck, memaklumkan bahawa Pasaraya LaPaPa Lawas bakal menjadi yang terbesar di Sarawak, lengkap dengan kemudahan hotel dan apartmen moden.
Beliau berkata, taman tema air yang sedang dibangunkan juga dijangka menjadi tarikan utama pelancong, sekali gus melonjakkan sektor rekreasi dan pelancongan di utara negeri ini.
“Kami menyasarkan kehadiran pengunjung dari Brunei, Kalimantan (Indonesia), Sabah, Labuan serta penduduk dari seluruh kawasan utara Sarawak,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi serta Pengarah Wilayah NRDA, Datu Ubaidillah Abd Latif.
Oleh Adeng Edrus