
KUCHING: Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) menyediakan dana pinjaman berjumlah AS$12.5 bilion (RM52.9 billion) bagi menyokong pelaksanaan agenda Grid Tenaga ASEAN (APG).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, daripada jumlah tersebut, AS$2.5 bilion (RM 10.58 bilion) adalah daripada Bank Dunia manakala AS$10 bilion (RM42.32 bilion) adalah daripada ADB.
Namun, beliau menegaskan jumlah itu masih jauh daripada mencukupi kerana keseluruhan pelaburan yang diperlukan dianggarkan melebihi AS$50 bilion (RM211 bilion).
Beliau berkata, cabaran utama kini adalah merangka model kewangan dan perniagaan yang mampu menarik lebih ramai pelabur antarabangsa menyertai inisiatif tersebut.
“Selain dana daripada bank, terdapat juga pelaburan swasta dari rantau Arab, Jepun, China dan lain-lain yang menunjukkan minat melabur di Malaysia dan ASEAN, khususnya bagi pembangunan Grid Tenaga ASEAN.
“Saya percaya pelaburan baharu ini akan menjadi pemacu pertumbuhan rantau ASEAN secara keseluruhan, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui ASEAN (SAREF) 4.0 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan model perniagaan bagi projek pembinaan kabel bawah laut akan ditentukan berdasarkan keperluan negara anggota.
“Sebagai contoh, Singapura dijangka menjadi peneraju kerana permintaan tenaga yang tinggi. Peranan kerajaan Malaysia hanya sebagai pemudah cara manakala perincian model perniagaan dan pembiayaan akan ditentukan oleh pihak industri,” jelasnya.
APG yang diperkenalkan pada 1997 merupakan inisiatif serantau untuk menghubungkan infrastruktur tenaga elektrik antara 10 negara anggota ASEAN dengan matlamat mencapai operasi grid bersepadu sepenuhnya menjelang 2045.
Oleh Shahrul Qaizat