KUCHING: Pembangunan lapangan terbang Sarawak yang baharu kini berjaya menarik minat pelabur luar untuk turut serta, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari.
Premier Sarawak berkata lapangan terbang baharu itu kelak akan dibangunkan dengan berinspirasikan model lapangan terbang Abu Dhabi dan Doha yang menggunakan teknologi terkini.
”Lapangan terbang ini dibangunkan oleh kerajaan Sarawak sendiri dan nampaknya sudah ada pelabur yang hendak melabur.
”Ini bermakna kita memulakannya dengan dana kita sendiri dan kini sudah ada ’pemain’ lain yang mula berminat dan tertarik dengannya untuk melabur di dalam pembinaan lapangan terbang kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival UDA 2024, di Tapak Projek Neu Pendington, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut berkenaan pelan lapangan terbang baharu itu, katanya ia juga bersifat ’seamless’ yang akan menjimatkan masa penumpang dan memudahkan urusan daftar masuk.
”Ini bermakna sekiranya orang masuk atau keluar, hanya satu kali daftar sahaja… maknanya imigresennya semua dah masuk sekali. Dengan teknologi yang terkini, semuanya ’ketek aja’.
”Ini akan memudah dan mempercepatkan pergerakan penumpang mahupun pelancong atau pelawat yang datang ke Sarawak terutamanya mereka yang sentiasa berulang-alik,” jelasnya.
Bagi mencapai hasrat itu, katanya kerajaan Sarawak terus komited untuk terus meningkatkan sistem ketersambungan dan perhubungan di negeri ini yang berasaskan infrastruktur digital.
Dalam pada itu, katanya lagi lapangan terbang baharu itu dijangka mampu menampung kapasiti hingga 15 juta penumpang yang juga dipercayai akan merancakkan perhotelan dan ekonomi tempatan.
Pada masa sama beliau optimis Sarawak akan mampu mencontohi pembangunan landskap Dubai di Emiriyah Arab Bersatu yang semakin maju ketimbang 25 tahun yang lalu.
Jelasnya, tindakan Sarawak mengambil MASwings dan membina lapangan terbang baharu itu merupakan salah satu langkah pertama dalam merealisasikan visi itu sekali gus untuk menembusi pasaran Asia Selatan dan Timur yang mempunyai lebih tiga bilion penduduk.
Bagaimanapun, Abang Johari tidak menyebut lokasi sebenar bagi tapak lapangan terbang itu nanti.
Oleh RYNNA SHA’ERRA