KUALA LUMPUR: Pelabur antarabangsa kembali dalam sentimen jualan, menjual RM151.1 juta bersih ekuiti tempatan dari Isnin hingga Rabu, selepas pasaran meningkat semula untuk mencatatkan belian asing bersih pada minggu lepas, selepas jualan asing bersih untuk minggu ke-25 berturut-turut.
Pasaran ditutup pada Khamis sempena sambutan Maal Hijrah.
Pelabur asing memperoleh RM274.4 juta bersih dari Isnin hingga Jumaat pada minggu sebelumnya, manakala untuk tempoh antara Isnin dan Rabu, ia mencatatkan jualan bersih sebanyak RM28.9 juta.
Bagi minggu dari 17 hingga 19 Ogos, institusi tempatan mencatatkan belian bersih sebanyak RM216.6 juta berbanding jualan bersih sebanyak RM920.0 juta pada sepanjang minggu sebelumnya.
Sementara itu, runcit tempatan menjual RM65.6 juta dari 17 hingga 19 Ogos berbanding belian bersih sebanyak RM645.6 juta pada sepanjang minggu sebelumnya.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pelabur antarabangsa terus mencatat kemajuan di Bursa Malaysia apabila mereka membeli RM139.3 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin.
“Minat untuk mengambil risiko dalam pasaran didorong oleh langkah-langkah mudah tunai yang diumumkan oleh China. Bank Rakyat China menambah pembiayaan selama setahun bernilai US$101.0 bilion melalui kemudahan pinjaman jangka sederhana untuk menyokong bank-bank dalam persekitaran tekanan mudah tunai yang meningkat dan memastikan pemulihan ekonomi dalam sasaran,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyaksikan belian bersih asing selama empat hari berturut-turut di Bursa Malaysia berakhir pada Selasa berikutan pelabur luar pesisir mengeluarkan RM110.1 juta daripada pasaran ekuiti tempatan.
“Kebanyakan pelabur tidak memasuki pasaran berikutan AS mengumumkan sekatan ke atas Huawei Technologies Co. untuk mengurangkan akses syarikat China kepada cip yang boleh didapati secara komersial,” katanya.
Adam berkata kadar di mana dana antarabangsa menjual ekuiti tempatan meningkat kepada RM180.3 juta bersih pada Rabu berikutan pelabur asing mengambil keuntungan menjelang cuti umum pada Khamis.
Menambah kepada sentimen lemah, beliau berpendapat langkah Presiden AS Donald Trump membatalkan rundingan perdagangan dengan China pada hujung minggu lepas, menimbulkan persoalan berhubung persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua negara itu pada tahun ini.
Sehubungan itu, katanya indeks CSI 300 China merosot 1.5 peratus pada Rabu, kemerosotan terbesar dalam tempoh hampir sebulan.
“Bursa tempatan turut ditutup rendah 0.2 peratus kepada 1,575.4 mata pada hari sama,” katanya.
Bagaimanapun, berbanding bursa Asia yang lain, iaitu Korea Selatan, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Thailand, Malaysia mempunyai aliran keluar bersih asing ketiga terkecil sebanyak RM19.65 bilion pada asas setakat ini pada tahun ini, berpadanan dengan paras jualan bersih asing yang dilihat pada 2015, katanya.
Pada asas mingguan, FBM KLCI naik 12.53 mata kepada 1,577.12 pada Jumaat berbanding 1,564.59 pada Jumaat sebelumnya.
Mengenai masa depan, Adam menjangka kekurangan petunjuk baharu dari peringkat luaran dan tempatan akan memastikan bursa tempatan terkawal minggu ini.
Beliau berkata, satu-satunya data ekonomi utama yang akan dikeluarkan minggu ini ialah data perdagangan bagi Julai, yang dijangka akan menunjukkan pertumbuhan eksport yang berterusan.
Pakar pasaran percaya bursa tempatan akan dipengaruhi oleh laporan pendapatan korporat yang lemah, data ekonomi tempatan, kebimbangan mengenai hubungan antara AS dan China serta bagaimana Rizab Persekutuan AS yang kurang memihak kepada kadar faedah rendah akan mempengaruhi sentimen ringgit.- Bernama