(“Kau berjuang mendewasakan tanah air yang merdeka, memartabatkan bangsa di pentas dunia, dengan keringat pejuang setia mengisi ruang-ruang harap, memahat batu-batu peradaban menjadi arca jaya, menganyam tali-temali tradisi menjadi permaidani perpaduan, membersihkan sungai-sungai alpa dari desa ke kota, membasmi kemiskinan usaha dan membangun citra bangsa.”) Bicara Seorang Pendidik – Adi Badiozaman Tuah
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), menyedari bahawa perubahan pesat dalam bidang ekonomi dan ICT turut mempengaruhi bidang pendidikan – kurikulum serta pelaksanaannya, dan kepemimpinan serta tata urus organisasi.
Kepemimpinan sekolah dan guru terutama sekali, sebagai barisan pelaksana yang terdekat dengan klien utama – pelajar dan ibu bapa, wajar berubah sama dan memahami segala bentuk tuntutan dan jangkaan baharu yang diharapkan.
Satu daripada tanggungjawab yang diamanahkan kepada penulis sebagai KetuaPenolong Pengarah Bahagian Penyeliaan Sekolah (BPS) di Ibu Pejabat Pendidikan Sarawak (1990–1993), ialah untuk menggalak dan mendorong pihak sekolah, secara sedar gigih berusaha meningkatkan ketrampilan dan kecekapan personelnya.
Ini supaya mereka sentiasa bersiap siaga untuk melaksanakan inovasi dan perubahan yang diperkenalkan sama ada dalam aspek pelaksanaan kurikulum mahupun anjakan kepemimpinan dan tadbir urus organisasi.
Perubahan akan berterusan berlaku, pendidikan akan turut sama berubah, pelajar tidak pernah berhenti belajar sesuatu yang baharu, dan perkara yang sama berlaku kepada guru. Jangkaan peranan, ilmu pengetahuan yang dimiliki dan kemahiran yang perlu dikuasai sama ada oleh pemimpin tertinggi sekolah atau gurunya akan turut sama berubah dan bertambah.
Pembangunan profesional berterusan (PPB), yang merupakan keperluan profesional keguruan, bertujuan membantu guru meningkatkan pemahaman mereka tentang konteks serta kewajaran perubahan serta jangkaan baharu itu, dan membantu mereka untuk menguasai ilmu serta kemahiran mengenai cara dan kaedah bagaimana perubahan dan jangkaan tersebut dapat ditangani serta disantuni dengan berkesan.
PPB adalah penting kerana kedua-dua keperluan pendidikan dan keperluan persekitaran sosiobudaya dan ekonomi berubah sepanjang masa. Ini boleh memberi kesan kepada kedua-dua cara pengajaran dan pembelajaran peningkatan penggunaan peralatan, perkakasandan perisian digital, dan kemahiran baharu selain kemahiran asas yang amat diperlukan oleh pelajar untuk membangunkan kerjaya mereka dalam pasaran kerja.
PPB memberikan guru kefahaman mendalam tentang teknik dan kepakaran yang diperlukan untuk membolehkan mereka mengenal pasti keperluan dan menyenaraikan keutamaan dalam menentukan yang terbaik untuk kerjaya dan juga amalan pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar masing-masing.
Kerana itu, pembangunan profesional berterusan yang merupakan keperluan dalam usaha memantapkan keupayaan pemimpin sekolah dan kecekapan guru melaksanakan tugas dengan berkesan dalam pelbagai peringkat kerjaya mereka, dianggap sebagai satu amalan yang wajar dijadikan agenda profesional utama di sekolah. Satu daripada tanggungjawab BPS adalah untuk memastikan program pembangunan profesional berterusan dirancang dan dilaksanakan di sekolah-sekolah sesuai dengan keperluan semasa.
Justeru, pembangunan profesional berterusan itu hendaklah terdiri daripada strategi dan pendekatan yang berkeupayaan memastikan kakitangan sekolah sentiasa meningkat aras profesionaliti mereka dan berkembang serta bertambah baik amalan keguruan dari awal kerjaya hingga akhir hayat perkhidmatan mereka.
Strategi dan pendekatan yang dipilih hendaklah melibatkan kesefahaman dan kerjasama antara pihak kepemimpinan tertinggi sekolah dan guru dan dilaksanakan secara kolaboratif dengan pelbagai pihak yang dapat membantu sehingga tercapainya tujuan sesuatu program itu dilaksanakan, khususnya untuk menyelesaikan masalah dan meneroka cara terbaik menyampaikan hasil pembelajaran yang berkesan dalam kalangan pelajar, dan keinginan untuk terus-terusan membaiki kualiti pengajaran dalam kalangan guru.
BPS melihat dan mengingatkan sekolah bahawa program pembangunan profesional berpotensi membantu sekolah meningkatkan keberkesanannya sebagai sebuah institusi akademik dan merupakan satu tunjangpenting dalam pemajuannya sebagai sebuah institusi sosial.
Sekiranya PPB dirancang dan dilaksanakan dengan betul, guru dan pelajar sama-sama mendapat manfaat daripadanya.
Apabila guru mendapat pemahaman yang lebih baik tentang apa yang dihasratkan oleh perubahan, hasil pembelajaran yang dikendalikan akan dengan sendirinya menjadi lebih baik. Kepelbagaian kaedah pengajaran yang diperoleh melalui PPB diyakini dapat membantu guru memahami konteks instruksional yang wajar juga pelbagai kerana ada keperluan yang berbeza dalam kalangan pelajar pelbagai kebolehan.
Dalam kalangan golongan kepemimpinan tertinggi sekolah, PPB yang berkesan turut berpotensi meningkatkan kemahiran memimpin dan mengurus organisasi dan sekiranya ia diterjemahkan ke dalam amalan urus tadbir sumber yang lebih cekap, ia boleh meningkatkan keyakinan guru dan kakitangan sekolah untuk menerima perubahan yang diperkenalkan.
Sebagai satu usaha untuk menggalakkan pembudayaan pembangunaan profesional secara berterusan di sekolah-selain menyediakan peruntukan kewangan untuk staff development program dan in-house training, BPS menyediakan juga panduan ringkas tata cara merancang dan mengendalikan PPB untuk dijadikan rujukan oleh pihak sekolah.
Lima perkara yang nasihatkan oleh BPS untuk dilakukan oleh pihak sekolah adalah:
• Membuat analisis keperluan – iaitu mengenal pasti keberadaan seseorang guru berhubung dengan kedudukan mereka dalam tangga kerjaya keguruan, latihan profesional yang pernah diikuti, keperluan semasa, dan aspirasi masa hadapan dalam konteks pemajuan sekolah;
• Mengenal pasti tahap pengetahuan dan kemahiran yang sudah dikuasai, usaha yang telah dilakukan atas inisiatif peribadi untuk pembangunan profesional jangka pendek dan jangka panjang, dan penilaian kendiri tentang keberkesanan atau kejayaan usaha tersebut;
• Membuat perancangan strategik berdasarkan aras ilmu pengetahuan dan kemahiran semasa yang sudah dikuasai, dan bidang peningkatan kemahiran dan tahap keperluan untuk pemba- ngunan diri dan keperluan pihak pemegang taruh yang menyarankan pembangunan profesional berpaksikan perubahan yang diperkenalkan;
• Menetapkan jangka masa pelaksanaan supaya wujud keseimbangan antara apa yang disasarkan dengan yang mampu dicapai, sama ada dari segi kualitatif mahupun kuantitatif; dan
• Membuat penilaian bagi mengukur dan mendapat data serta maklumat tentang pencapaian dan kemajuan setiap guru yang terlibat dalam pelan pembangunan profesional mereka.
Kerap disebut sebagai satu proses pembelajaran sepanjang hayat, JPNS berpendirian bahawa PPB merupakan mekanisme profesional untuk menjadikan guru sentiasa semasa dan ‘up to date’ dari segi ilmu dan kemahiran, dan kerana itu berterusan relevan dengan perubahan serta tuntutan masa dan juga bersifat kemaskini dan segar untuk memenuhi jangkaan pelajar yang semakin canggih.
Jabatan Pendidikan Sarawak amat yakin tentang manfaat yang diperoleh melalui perancangan dan pelaksanaan PPB yang sistematik, komprehensif dan bersepadu. Ia bukan sahaja membantu pemajuan sekolah, tetapi juga memberi kesan positif kepada perkembangan dan pertumbuhan profesional guru yang kemudian kelak boleh menyumbang secara positif terhadap pemantapan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan.
Jabatan Pendidikan amat menyedari bahawa seorang pegawai pendidikan, pemimpin dan guru yang terpelajar dan terdidik dengan baik melalui latihan formal dan latihan profesional dalam perkhidmatan secara berterusan sememangnya adalah rahmat kepada bukan sahaja pelajar dalam bilik darjah apabila dia mengaplikasikan ilmu dan kemahiran baharu dan pendekatan yang segar, tetapi juga kepada keseluruhan peringkat sistem pendidikan apabila dia melaksanakan secara profesional mekanisme kepemimpinan dan pengurusan yang relevan dan sesuai untuk zaman dan masanya.
Setiap pendidik, tidak kira di mana dia berkhidmat atau apa kedudukannya dalam hierarki pendidikan, sekiranya ingin terus menyumbang secara bermakna terhadap pembangunan dan kemajuan pendidikan dan beraspirasi untuk membawa perubahan demi kelangsungan profesional yang berdiginiti dan berwibawa, harus terus berani dan gigih membentuk serta mencipta semula diri mereka sendiri melalui program pembangunan profesional berterusan.