(“Maka demikianlah kembara keguruan kita, perjalanan minda menerokai alam fikir, kata-kata pesan akan terus diulang ungkap, dalam sedar dan dalam jaga, cerita-cerita suka duka dalam gelanggang pendidikan akan terus menyerikan setia perjumpaan teman sebaya, dan semangat perwira akan terus terukir pada wajah ceria, tersergam berdiri arca kenangan ini sebagai saksi, perjalanan hidup seorang pendidik yang berbudi, daripada seorang remaja meningkat dewasa, menjadi seorang guru kebanggaan anak muridnya.” Guru – Adi Badiozaman Tuah)
PENYELIAAN berintegriti, pengurusan data pendidikan, pembudayaan penyelidikan dan pembangunan profesional berterusan digalakkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) melalui Bahagian Penyeliaan Sekolah (BPS).
Ia untuk diamal dan dibudayakan di peringkat sekolah, bertujuan bukan sahaja untuk menjadi pemangkin pemajuan atau penambahbaikan sekolah, malah juga bermatlamat akhir untuk memudahkan proses dan usaha menjadikan sekolah sebuah institusi pendidikan yang berkesan dan pada masa sama, sebuah organisasi pembelajaran.
Peranan utama BPS adalah untuk mengoperasikan visi dan misi tersebut ke dalam pelbagai bentuk inovasi kepemimpinan, pengurusan dan pentadbiran dan juga pelaksanaan program profesional supaya akses dan ekuiti kepada pendidikan berkualiti untuk semua sekolah, tidak kira sama ada ia sekolah besar atau sekolah kekurangan murid, sekolah bandar atau pedalaman, sekolah yang mempunyai kemudahan fizikal yang canggih atau daif, dapat menjadi pemangkin utama dalam pembentukan generasi yang berketrampilan dan bertanggungjawab supaya usaha penstrukturan semula masyarakat dan pembasmian kemiskinan ekonomi, budaya dan sosial dapat direalisasikan.
Usaha membantu sekolah agar dapat menjadi institusi pendidikan yang berkesan dan memiliki ciri sebuah organisasi pembelajaran merupakan satu tanggungjawab yang amat mencabar.
Penulis sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP – BPS) telah diamanahkan untuk merancang pelbagai program keilmuan yang dilaksanakan melalui penganjuran seminar, bengkel, perbincangan meja bulat dan perbincangan berkala dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Bahagian dan Daerah dan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah dan Majlis Guru Besar, telah diadakan.
Ada dua fasa pelaksanaan telah dikenalpasti oleh BPS sebagai strategi yang difikirkan dapat membantu pihak sekolah untuk mentransformasikan organisasi masing-masing.
Fasa pertama yang digerakkan oleh BPS bertujuan meningkatkan aras kesedaran pihak kepemimpinan tertinggi sekolah mengenai penting dan perlunya sekolah berubah sebagai sebuah organisasi profesional supaya dapat memainkan peranan utama dalam membentuk minda, jiwa dan sikap semua warga sekolah untuk bersedia dan memiliki persediaan memulakan, melaksana dan menginstitusikan perubahan seperti diharapkan dan dikehendaki.
Fasa kedua melibatkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti pembangunan profesional untuk guru di peringkat sekolah, khusus bagi tujuan meningkatkan komitmen, ilmu dan kemahiran untuk bersama bergerak menjana perubahan profesional di dalam diri dan juga memupuk budaya dan persekitaran kerja kondusif bagi pertumbuhan dan perkembangan profesional dalam kalangan rakan sejawat.
Dalam usaha untuk menjadikan sekolah berjaya dan berkesan dalam merealisasikan agenda pendidikan, sebagai permulaan, antara mesej penting yang telah dikongsikan oleh BPS dengan kepemimpinan tertinggi sekolah adalah dapatan kajian yang menunjukkan bahawa sekolah mempunyai kesan langsung ke atas prestasi pelajar.
Intipatinya ialah bahawa sekolah yang dipimpin dan diuruskan dengan baik mempunyai potensi yang jauh lebih besar untuk melahirkan insan bertanggungjawab dan berjaya.
Dapatan kajian oleh Mortimore et al (1988), tentang ciri-ciri sekolah yang berjaya dan berkesan, telah dijadikan peringatan kepada pihak kepemimpinan dan pengurusan sekolah tentang usaha yang boleh mereka lakukan di peringkat sekolah masingmasing.
Antara perkara yang ditekankan oleh BPS untuk diberi perhatian serius oleh sekolah ialah sifat kepemimpinan oleh guru besar atau pengetua yang berwawasan, tegas namun demokratik dan partisipatif dalam memimpin dan mengurus sekolah.
Dari sudut tenaga pengajar dan pengurusan proses pengajaran dan pembelajaran pula, BPS menekankan tentang pentingnya guru bersikap profesional sama ada dalam perancangan, pelaksanaan atau pentaksiran pengajaran dan pembelajaran.
Dalam kata lain, mereka hendaklah menstrukturkan sesi pengajaran supaya berpusatkan pelajar kebolehan dan keupayaan mereka, supaya mencabar dan sesuai dengan kapasiti intelektual serta kebersediaan emosi dan sosial mereka.
Pihak kepemimpinan sekolah juga diingatkan mengenai pentingnya pengurusan kebajikan sosial dan kebajikan akademik pelajar yang cekap dan berkesan.
Kawalan dan pengukuhan displin yang tinggi, pengurusan persekitaran sosial dan pembelajaran teratur dan menarik, di samping wujudnya sistem pelaporan hasil pentaksiran, prestasi dan pencapaian mereka untuk dimanfaatkan bagi membantu ibu bapa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak mereka, adalah sama penting.
Dalam konteks ini, BPS juga menekankan pentingnya hubungan baik antara sekolah dan ibu bapa serta komuniti setempat dipupukkan supaya budaya penglibatan serta penyertaan ibu bapa dan masyarakat sekitar dapat diwujudkan secara saling melengkapi.
Justeru, kemahiran sosial, khususnya kemahiran berkomunikasi, sama ada dalaman atau dengan orang luar adalah sangat dituntut untuk diamalkan oleh pihak sekolah.
Ditempatkan dalam konteks pengupayaan sekolah untuk menyediakan persekitaran kepemimpinan, pengurusan dan pengajaran dan pembelajaran yang dinamik, saranan untuk menjadikan setiap sekolah itu sekolah berkesan dan berjaya, bertujuan mentransformasikan sekolah menjadi organisasi pembelajaran yang mudah, mampu dan berkecekapan untuk berubah sama dengan perubahan dan perkembangan yang berlaku di luar alam persekolahan, tanpa ada arahan atau tekanan dari luar.
Organisasi pembelajaran yang biasanya difahami sebagai organisasi yang secara proaktif menggalak amalan budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan warganya, bagi tujuan penambahbaikan serta peningkatan keberkesanannya mencapai visi, misi dan tujuan organisasi, dan juga bagi pengukuhan kecekapan menangani perubahan, adalah sesuatu yang memang wajar berlaku pada sekolah.
Ini adalah antara sasaran BPS yang dikongsikan dengan pihak sekolah. Sebagai tambahan kepada proses penambahbaikan berterusan secara profesional yang memang dituntut ke atas golongan profesional dan pengurusan serta pendidik di sekolah, BPS juga menggalakkan pasukan kepemimpinan tertinggi sekolah untuk merancang dan melaksanakan secara sedar program pentransformasian sekolah daripada organisasi pengajaran dan pembelajaran hal-hal akademik semata-mata kepada organisasi pembelajaran yang mendorong dan memberi sokongan padu kepada tenaga akademik sekolah untuk berani mengambil risiko dengan idea inovatif dan kreatif supaya selari dengan perubahan dalam bidang lain seperti teknologi, ekonomi, politik dan sosiobudaya.
BPS memberi penekanan kepada peningkatan pemahaman dalam kalangan kepemimpinan dan komuniti sekolah mengenai manfaat sekolah berfungsi sebagai sebuah organisasi pembelajaran kerana menyedari hakikat bahawa sifat-sifatnya yang mencirikan sesebuah organisasi yang dinamik, tangkas, responsif, dan sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang berterusan, memudahkan penerimaan dan pelaksanaan pelbagai bentuk inovasi dan transformasi yang diperkenalkan sama ada oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri atau oleh sekolah itu sendiri oleh warga sekolah.
Sekolah yang berfungsi sebagai sebuah organisasi pembelajaran mendorong dan menyokong pertumbuhan dan perkembangan persekitaran pembelajaran yang menjamin keselamatan psikologi, menghargai perbezaan, menerima keterbukaan kepada idea-idea baru, dan menyediakan ruang dan masa untuk membuat refleksi atau penilaian kendiri.
Dalam sekolah yang mempunyai ciri-ciri ini, warganya berkeyakinan bahawa mereka dibolehkan untuk mencabar konvensyen semasa, memperkenalkan atau mencuba sesuatu yang baharu, menawarkan idea-idea baharu, dan bersedia untuk mengambil risiko.
Budaya seperti ini yang bersandarkan kepada data dan maklumat nyata serta didukung oleh ilmu dan pengalaman, merupakan budaya kerja dan budaya ilmu yang boleh memacu sekolah ke arah profesionalisme dalam kalangan guru dan kecemerlangan dalam kalangan pelajar.
Dalam konteks ini, JPNS menyedari peranan penting yang sewajarnya dimainkan oleh pemimpin tertinggi sekolah dalam membina organisasi pembelajaran.
Falsafah dan gaya kepemimpinan yang diamalkan, dan tingkah laku, tindakan, dan keputusan profesional yang diambil oleh pemimpin akan dijadikan petunjuk kepada kebersediaan mereka untuk membawa sekolah berubah ke arah sekolah berkesan dan organisasi pembelajaran. Membudayakan ilmu dan pembelajaran secara tekal dan gigih dalam kalangan warga sekolah yang bertaburan di seluruh pelosok Sarawak merupakan satu daripada cabaran yang amat sukar untuk ditangani.
Namun, kerana ia merupakan satu mekanisme yang berkesan dalam menangani perubahan, maka BPS tidak mempunyai pilihan lain kecuali membawa pihak kepemimpinan tertinggi sekolah melalui Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak untuk mentransformasikan sekolah menjadi organisasi pembelajaran yang dinamik dan segar.