KUCHING: Pembangunan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang, bakal dilengkapi kemudahan pengisian bahan api atau ‘bunkering’ untuk bahan api hijau bagi kapal, selain terminal gas cecair asli (LNG), menjadikannya pelabuhan kedua seumpamanya selepas Pelabuhan Bintulu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelabuhan baharu ini akan memacu aktiviti perkapalan di negeri ini dan memperkukuhkan ekonomi Sarawak menerusi pelancaran Borneo Supply Base yang bakal memberi manfaat besar kepada industri petroleum.
“Penubuhan Borneo Supply Base ini untuk menyediakan perkhidmatan kepada industri petroleum di Sarawak sudah pasti akan memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak secara keseluruhan.
“Ini merupakan langkah bersejarah setelah 40 tahun kewujudan industri petroleum luar pantai Sarawak, yang selama ini berpusat di Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Difahamkan kawasan Tanjung Embang berdekatan Kampung Teluk Nipah and Kampung Sungai Jaong di sini, bakal dibangunkan dengan teknologi berbeza berbanding kaedah konvensional.
Abang Johari turut menjelaskan bahawa kuasa yang dimiliki Sarawak di bawah Ordinan Pengedaran Gas 2016 (GDO 2016) membolehkan negeri ini mengoperasikan program yang digariskan di bawah ‘Sarawak Gas Roadmap’ untuk menyalurkan gas asli ke terminal-terminal gas lain dari Bintulu.
Katanya, ia dijangka memberi kesan besar kepada industri gas dan petroleum Sarawak.
Beliau berkata pengambilalihan Pelabuhan Bintulu baru-baru ini merupakan antara hasil utama yang diperoleh Sarawak dan ia terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Selain itu, ekonomi Sarawak turut dijangka semakin kukuh melalui pengambilalihan saham Affin Bank Bhd sebanyak 31.25 peratus baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyatakan bahawa rundingan mengenai pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings sedang berlangsung dan dijangka selesai tidak lama lagi.
Untuk makluman, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak telah meningkat kepada RM146 bilion, manakala pendapatannya bagi 2023 adalah sebanyak RM13.3 bilion dan dijangka lebih tinggi pada tahun ini.
Oleh SHAHRUL QAIZAT