KUCHING: Pembinaan Pelabuhan Laut Dalam di Tanjung Embang, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu akan meletakkan Sarawak sebagai pemain penting dalam rangkaian perdagangan serantau dan global.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata projek mega itu juga akan membuka lembaran baharu untuk Sarawak ke arah merealisasikan hasrat menjadi negeri berpendapatan tinggi dan mampan menjelang 2030.
”Penyepaduan penyelesaian tenaga mampan ke dalam projek-projek ini adalah penting untuk memastikan pertumbuhan Sarawak adalah inovatif dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
”Visi Premier Sarawak menetapkan laluan jelas ke arah masa depan ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif.
”Dengan memanfaatkan sumber asli di negeri ini, inovasi digital dan kepakaran dalam tenaga boleh diperbaharui, Sarawak sedang mewujudkan asas kukuh untuk kemakmuran jangka panjang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Selain itu, katanya, kedua-dua projek pembinaan itu sekali gus akan membuka peluang untuk perdagangan, pelancongan dan kerjasama antarabangsa.
“Projek infrastruktur transformatif ini bukan sahaja mengukuhkan ketersambungan dan kedudukan ekonomi Sarawak tetapi juga sejajar dengan strategi kita yang lebih luas untuk mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui, khususnya hidrogen dan gas di dalam ekonomi negeri,” katanya.
Hazland turut menekankan peranan penting perkongsian awam-swasta dalam memacu kemajuan Sarawak.
”Semasa kami bergerak ke hadapan, tumpuan kami akan kekal kepada memupuk inovasi, kemampanan dan keterangkuman.
”Projek ini (Pelabuhan Laut Dalam dan lapangan terbang menandakan permulaan lembaran baharu untuk Sarawak dan kami berazam untuk memastikan kejayaannya,” tambahnya.
Difahamkan, kawasan Tanjung Embang berdekatan Kampung Teluk Nipah and Kampung Sungai Jaong di sini, bakal dibangunkan dengan teknologi berbeza berbanding kaedah konvensional.
Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata proses perancangan untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu akan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan.
Konsep lapangan terbang itu pula akan menggunakan model Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar.
Bagaimanapun, lokasi sebenar lapangan terbang baharu itu belum diumumkan.