Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pelabuhan Bintulu meterai MoU perkukuh peralihan tenaga bersih Sarawak
  • SEMASA

Pelabuhan Bintulu meterai MoU perkukuh peralihan tenaga bersih Sarawak

Utusan Sarawak 3 days ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan tetamu kehormat yang lain pada Majlis Hari Libat Urus Industri Awam Meesty dan Majlis Pelancaran Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) hari ini memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik antarabangsa bagi menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi hab serantau bagi tenaga hijau dan bahan api lestari.

Pelabuhan Bintulu dalam kenyataan memaklumkan majlis pertukaran MoU itu yang disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diadakan bersempena pelancaran rasmi Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) di sini dan merupakan satu detik penting yang menunjukkan komitmen BPHB terhadap kepimpinan tenaga bersih.

Mewakili BPHB dalam majlis pertukaran MoU itu, Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Seri Fong Joo Chung manakala rakan strategik diwakili oleh Pengurus Besar Sakura Ferroalloys Sdn Bhd Rudolph du Perez, Pengerusi Borneo Biogas Pte Ltd Tan Soo Kong dan Pengerusi Jiangsu Guofu Hydrogen Energy Equipment Co. Ltd. (Guofuhee) Wu Pinfang.

“MoU pertama dimeterai bersama Sakura Ferroalloys untuk bekerjasama dalam inisiatif penyahkarbonan dengan tumpuan kepada pembangunan bioetanol dan bahan api penerbangan mampan (SAF). Inisiatif ini menyokong Strategi Sifar Karbon Sarawak 2050 dan selari dengan kerangka alam sekitar global seperti Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM),” menurut kenyataan itu.

MoU kedua pula dimeterai bersama Borneo Biogas, sebuah syarikat yang mengkhusus dalam pengeluaran mampan biometana dan gas asli cecair bio (Bio-LNG) yang diperoleh daripada minyak sawit dan sisa pertanian.

“Kerjasama ini akan meneroka kebolehlaksanaan untuk membangunkan keupayaan pengeluaran Bio-LNG di Sarawak, termasuk pembangunan infrastruktur bunkering Bio-LNG dan penggunaan Bio-LNG untuk membekalkan tenaga kepada kapal sokongan pelabuhan,” katanya.

MoU ketiga pula ditandatangani bersama Guofuhee, sebuah syarikat berpangkalan di China yang mengkhusus dalam peralatan dan sistem tenaga hidrogen, dengan objektif untuk membangunkan kemudahan hidrogen cecair, sekali gus meletakkan Pelabuhan Bintulu sebagai pemangkin utama dalam logistik dan eksport hidrogen.

MoU itu turut memberi keutamaan kepada permintaan tempatan terhadap hidrogen untuk sektor industri dan pengangkutan Sarawak, termasuk potensi penggunaan kapal berkuasa hidrogen dalam operasi Pelabuhan Bintulu, seiring dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi peneraju global dalam eksport hidrogen.

“Setiap kerjasama ini akan digerakkan melalui kajian kebolehlaksanaan yang tertumpu dan perbincangan teknikal berterusan bagi menentukan kriteria kejayaan utama. Usaha ini dirangka bagi memastikan pelaksanaan berkesan yang selari dengan objektif Sarawak untuk mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050,” menurut kenyataan itu.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: UTM sedia beri kerjasama sepenuhnya kes kematian pegawai kadet PALAPES
Next: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah selamat tiba di Bintulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.