BINTULU: Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak yang berkuat kuasa 1 September ini membuka lembaran baharu dalam sejarah 47 tahun pelabuhan berkenaan, hasil kerjasama erat dan persefahaman antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kejayaan merealisasikan pengambilalihan itu membuktikan perkara kompleks mampu diselesaikan menerusi rundingan, kerjasama dan rasa saling menghormati.
Menurutnya, tiga perkara utama yang dipersetujui dalam proses peralihan berkenaan telah berjaya dipenuhi.

“Pertama, kita mengambil alih semua kakitangan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB).
“Kedua, sebahagian daripada aset Lembaga Pelabuhan Bintulu akan dikembalikan dan ketiga, kita membayar bagi pelepasan aset Pelabuhan Bintulu.
“Semua itu telah kita penuhi. Sebab itu, hari ini Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia telah mengesahkan bahawa pelabuhan ini diserahkan kepada Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perpisahan Lembaga Pelabuhan Bintulu daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, di sini, malam tadi.

Uggah berkata, proses peralihan itu bukan mudah kerana melibatkan pelbagai aspek termasuk aset dan tanah, kewangan, perundangan, perjawatan, kebajikan kakitangan, usaha wajar (due diligence) serta undang-undang kecil pelabuhan.
Bagaimanapun katanya, semua perkara berkenaan dapat diselesaikan melalui rundingan yang mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak.
Proses tersebut mempunyai sejarah yang panjang apabila bermula dengan pengumuman Premier Sarawak pada 30 Januari 2023, disusuli pengumuman Perdana Menteri di Parlimen pada 13 Oktober 2023.
Ia diteruskan dengan pertukaran Memorandum Persefahaman pada 22 Mac 2024 dan pembubaran Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu di Parlimen pada 17 Julai 2024.
Pada 4 Februari 2026, persetujuan nilai pengambilalihan sebanyak RM1.8 bilion dicapai sebelum Majlis Penyerahan Cek dilaksanakan pada 21 Jun 2026.
Uggah berkata, pengambilalihan itu memperlihatkan semangat Malaysia apabila kedua-dua kerajaan mampu menyelesaikan isu kompleks demi kepentingan pembangunan dan ekonomi negara.
“Bagi kita, apabila kita membangunkan Sarawak, kita juga membangunkan Malaysia. Apa yang memberi manfaat kepada Sarawak juga akan memberi manfaat kepada Malaysia,” katanya.

Pelabuhan Bintulu yang berkembang sejak 1979 kini bukan sahaja menyokong industri tenaga, malah menjadi pintu perdagangan, pemangkin perindustrian dan penghubung sumber Sarawak dengan pasaran dunia.
Dengan pentadbiran baharu bermula 1 September ini, pelabuhan berkenaan akan terus dibangunkan sebagai aset strategik Sarawak dengan kecekapan perkhidmatan, produktiviti, keselamatan, integriti dan tadbir urus diberikan keutamaan.
Pelabuhan Bintulu juga dijangka menerima pensijilan EcoPorts pertamanya pada September 2026, sekali gus memperkukuh usaha menjadikan operasi pelabuhan lebih mampan serta meningkatkan kedudukannya di Asia Tenggara.
Pengambilalihan itu akhirnya membawa legasi 47 tahun Pelabuhan Bintulu ke fasa baharu, dengan Sarawak kini memikul amanah untuk meneruskan pembangunan pelabuhan sebagai pemangkin perdagangan, industri dan pertumbuhan ekonomi negeri serta Malaysia.
Oleh Adi Safarman





