SYDNEY: Kesan Covid-19 terhadap perjalanan ke luar negeri telah menyebabkan ramai petani Australia mengalami kekurangan tenaga kerja ketika kemuncak musim penuaian dan pemprosesan, lapor agensi berita Xinhua.
Bagi mengatasi masalah itu, pihak berkuasa telah memberikan kelulusan khas kepada pekerja dari Kepulauan Pasifik untuk memasuki Australia.
Kumpulan pertama dari Fiji akan tiba pada Rabu depan merangkumi 350 pekerja terlatih, akan mula bekerja selepas menjalani dua minggu kuarantin. Mereka akan bekerja di kilang memproses daging di seluruh negeri New South Wales (NSW).
“Apabila tiba musim perayaan, kita akan menerima permintaan yang tinggi untuk daging dari NSW,” kata Menteri Pertanian Adam Marshall.
Kelulusan turut diberikan kepada 160 pekerja dari Kepulauan Solomon, Tonga atau Vanuatu, untuk menampung keperluan tenaga kerja di ladang tomato.
“Industri tomato menyumbang lebih 50 juta dolar Australia (US$36.7 juta) kepada ekonomi negara, jadi dengan memberikan sokongan kepada sektor ini, kita juga membantu merangsang ekonomi luar bandar yang bergantung kepadanya.”
Marshall berkata pemerintah NSW telah melakukan yang terbaik dalam membantu memudahkan urusan kemasukan pekerja asing bagi mengurangkan gangguan rantaian bekalan disebabkan kekurangan tenaga kerja akibat Covid-19.-Bernama