

SIMUNJAN: Seorang pekerja tapak pembinaan maut selepas dihempap bongkah konkrit yang digunakan bagi ujian beban dalam kejadian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng, di sini, hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 2.08 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan digerakkan ke lokasi.
“Pasukan tiba di lokasi pada 2.14 petang dan mendapati mangsa telah dihempap oleh sebuah bongkah konkrit yang digunakan untuk ujian beban pada permukaan tanah di tapak projek pembinaan berkenaan.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit pada struktur konkrit tersebut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Shahrul Qaizat