
BELAGA: Seorang lelaki ditemukan maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam gaung ketika dalam perjalanan pulang ke Kem Nibong, di sini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Himang Lisang, 49, warga tempatan yang dilaporkan hilang sejak 15 Julai lalu selepas keluar membeli bekalan makanan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Belaga pada 8.00 pagi tadi.
Susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga digerakkan ke lokasi yang mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan melalui jalan balak.
“Siasatan awal mendapati mangsa keluar dari Kem Nibong menuju ke Anding pada 15 Julai sekitar 4.30 petang namun tidak kembali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pihak syarikat menyedari kehilangan mangsa selepas dia gagal dihubungi dan tidak muncul semula di kem walaupun dipercayai telah melalui laluan balak berhampiran Kem Abit.
Usaha pencarian dilakukan oleh pihak syarikat sebelum kenderaan dan mangsa ditemui sekitar 9.30 pagi ini dalam keadaan terjatuh ke dalam gaung, kira-kira lima kilometer sebelum tiba di Kem Nibong.
Laporan polis mengenai kehilangan mangsa telah dibuat lebih awal oleh pengurus syarikat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga.
Maklumat lanjut berkaitan operasi mengeluarkan mangsa dan tindakan susulan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Oleh Carolyne Utih