KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Sarawak (JPBN) telah memutuskan untuk semua pekerja pelantar minyak dan gas termasuk yang dari luar Sarawak dikehendaki menjalani Perintah Kuarantin selama 14 hari di Sarawak sebelum pergi ke pelantar.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap pengerusi JPBN berkata keputusan ini adalah sebagai langkah untuk mengelakkan pekerja yang pergi ke pelantar menjadi pembawa kepada wabak Covid-19.
“Mereka harus menjalani kuarantin di Sarawak terlebih dahulu selama 14 hari sebelum ke pelantar termasuk pekerja yang dari Labuan dan Kuala Lumpur.
“Pelantar minyak berada jauh di kawasan lautan ,dan ianya bagaikan satu tempat yang terpencil. Jika mereka tidak dikuarantin terlebih dahulu ,ianya akan menjadi satu masalah besar jika mereka menjadi pembawa di pelantar,” jelas Uggah ketika sidang media situasi terkini Covid-19 di Sarawak ,semalam.
Uggah turut memberitahu JPBN tidak membenarkan pergerakan di antara Daerah.
“Pengecualian bagi kes-kes kecemasan adalah melalui Daerah masing-masing,” katanya lagi.
Uggah turut berterima kasih kepada semua rakyat Sarawak kerana telah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pihak Polis memaklumkan sebanyak 95 peratus telah mematuhi PKP. Daripada 25 hingga 29 Mac 2020, pihak Polis telah menahan 162 pesalah seluruh Sarawak. “Daripada jumlah ini, 8 telah didakwa di mahkamah dimana 5 telah dijatuhkan hukuman penjara 2-4 bulan dan 3 lagi di denda. Selebihnya akan didakwa di mahkamah mulai esok,” kata Uggah.