Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pekerja ladang sawit terselamat diserang buaya 3.35 meter di Ladang Tisak
  • Tengah
  • WILAYAH

Pekerja ladang sawit terselamat diserang buaya 3.35 meter di Ladang Tisak

Utusan Sarawak 5 hours ago
PASUKAN APM Betong berjaya menangkap seekor buaya katak sepanjang 3.35 meter dalam kejadian mencemaskan di Ladang Tisak, pagi tadi. Foto APM Betong

BETONG: Seorang pekerja ladang kelapa sawit terselamat daripada serangan seekor buaya katak sepanjang 3.35 meter dalam kejadian mencemaskan di Ladang Tisak, pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut sekitar 10.30 pagi sebelum lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Betong digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, sebaik menerima maklumat, pasukan APM segera bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Betong bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.

“Setibanya pasukan APM di lokasi kejadian pada 11.20 pagi, didapati buaya tersebut telah diikat oleh pekerja ladang dan berada dalam keadaan tercedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan mangsa, kejadian berlaku ketika pekerja terbabit sedang menumbuk buah sawit sebelum beberapa biji buah jatuh ke dalam longkang berhampiran.

Katanya, buaya berkenaan dipercayai muncul secara tiba-tiba dan menyerang buah sawit yang jatuh sebelum mangsa terkejut lalu terjatuh ke dalam longkang.

ANGGOTA APM Betong berjaya menangkap seekor buaya katak sepanjang 3.35 meter dalam kejadian mencemaskan di Ladang Tisak, pagi tadi. Foto APM Betong

“Mangsa kemudian menjerit meminta bantuan rakan sekerja lain sebelum bertindak mempertahankan diri dengan mencucuk buaya menggunakan tombak sawit ketika reptilia itu cuba menyerangnya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Kapten Mohammad berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut hasil tindakan pantas menyelamatkan diri dan bantuan rakan sekerja.

Operasi mengangkat buaya seberat kira-kira 100 kilogram itu ke dalam lori lima tan turut dibantu pekerja ladang sawit sebelum reptilia berkenaan dibawa ke PKOD Betong untuk diserahkan kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Pasukan operasi terdiri daripada Koperal Hamdan Mahmud, Lans Koperal Mohd Ajrun Azhim Walhat, Lans Koperal Anthnio Gama Sempurai, Prebet Rizal Merebai dan Prebet Anddy Harrison Walhat.

Operasi tamat sepenuhnya pada 12.30 tengah hari selepas pasukan APM kembali ke PKOD Betong bersama reptilia tersebut.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Kemudahan baharu RTP bantu selesai isu parkir rumah panjang di Pasai Siong
Next: Landasan Lapangan Terbang Limbang dinaik taraf

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.