
KUCHING: Setiap pekerja, sama ada di bandar mahupun di pedalaman, memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda pembangunan Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Sarawak berbangga dengan kepelbagaian sektor pekerjaan, termasuk minyak dan gas, pertanian, pelancongan serta ekonomi digital.
Ujarnya, para pekerja ini yang terus menjadi tulang belakang yang memastikan kesinambungan kemajuan demi kesejahteraan rakyat.
“Saya dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi juga ingin merakamkan penghargaan kepada para majikan dan kesatuan sekerja yang terus bekerjasama dalam memelihara kebajikan pekerja.
“Hubungan harmoni antara majikan dan pekerja menjadi asas kepada produktiviti yang mampan dan kesejahteraan bersama.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan suasana kerja yang kondusif, saling menghormati, dan adil di semua peringkat organisasi—daripada pengurusan tertinggi hinggalah ke barisan hadapan,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Pekerja.
Selain itu ujarnya, sambutan Hari Pekerja turut memberi ruang untuk menilai semula dasar serta amalan pekerjaan, selari dengan hasrat kerajaan Sarawak yang komited untuk memperkukuh perlindungan sosial, memperluas peluang latihan kemahiran dan menyediakan pekerjaan yang adil dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Jelasnya, Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun bukan sekadar cuti umum, tetapi lambang penghargaan terhadap perjuangan golongan pekerja dalam menuntut hak yang adil dan suasana kerja yang lebih baik.
“Sambutan ini berakar daripada gerakan buruh antarabangsa, yang memperjuangkan hak-hak asas pekerja, termasuk waktu kerja lapan jam sehari, satu titik tolak penting dalam sejarah penubuhan kesatuan sekerja dan dasar perlindungan buruh yang kita nikmati hari ini,” jelasnya.
Beliau terus menggesa agar semua pihak sama ada kerajaan, majikan, pekerja dan masyarakat untuk terus berganding bahu dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat, adil dan sejahtera.
Tegasnya, tiada ruang untuk sebarang bentuk penindasan atau ketidakadilan kerana hanya dengan persekitaran kerja yang harmoni, produktiviti dan kesejahteraan bersama dapat dipertingkatkan demi kemajuan negeri dan negara.
“Negara yang maju dan makmur berlandaskan kekuatan dan dedikasi pekerjanya. Di sebalik setiap kejayaan, wujud sumbangan tenaga kerja yang tidak mengenal penat lelah, sama ada di sektor awam mahupun swasta, di bandar atau desa,” ujar beliau.
Dengan semangat perpaduan dan saling menghargai, beliau bersama Toh Puan Fauziah berharap agar sambutan ini dapat memperkukuh komitmen seluruh rakyat Sarawak dalam menjadikan wilayah ini sebuah tempat kerja yang adil, selamat, dan sejahtera bagi merealisasikan visi negeri maju dan makmur menjelang 2030. – UKAS