AKUN GIMAN
SIBU: Biarpun pahit, namun ia terpaksa ditelan jua, demikianlah keperitan para pekebun sayur di tebing barat bandar Sibu yang mengalami kerugian antara 40 hingga 50 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas.
Menurut Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur Sibu (SVPA) Tieu Kiu Sing, keadaan itu adalah disebabkan penurunan permintaan secara mendadak, berbanding dengan bekalan.
“Disebabkan tiada permintaan daripada sekolah-sekolah yang sebelum ini dibekalkan setiap hari, permintaan terhadap bekalan sayur jauh berkurangan.
“Selain itu, jumlah peniaga yang dihadkan atau bergilir-gilir berniaga di Pasar Sentral Sibu juga menjadi sebab permintaan menurun,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita semalam.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih teruk disebabkan kurang permintaan daripada pengusaha restoran dan kedai makan yang sebahagian besarnya menghentikan operasi.
“Pekebun sayur tidak terkecuali terkena tempias, namun kita sedar kerajaan melakukan yang terbaik untuk melindungi semua orang,” ujarnya.
Katanya, ahli persatuan memilih untuk mendermakan lebihan sayur kepada pertubuhan kebajikan seperti Rumah Kanak-Kanak Methodist, Sibu Benevolent Society dan Peryatim.
“Selain itu, kita juga membekalkan sayuran segar ini di Pejabat Pertanian untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Tieu memberitahu, jika PKP dilanjutkan lagi selepas 14 April ini, pekebun sayur di sini sudah sedia berhadapan dengan situasi yang lebih buruk.
“Oleh itu, ahli-ahli SVPA amat mengharapkan bantuan pihak kerajaan dengan memberikan subsidi baja dan racun serangga bagi meringankan beban pekebun,” ujarnya dengan nada sedih.
Tieu telah bekebun sayur di Sungai Bidut sejak 11 tahun lepas. SVPA kini mempunyai kira-kira 300 ahli yang kebanyakkan di tebing barat bandar Sibu.