
LAWAS: Pekan Trusan bakal dibangunkan menjadi bandar baharu yang lebih menarik dan strategik untuk meningkatkan kegiatan ekonomi di sini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pembangunan itu dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak melalui Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) dan agensi pelaksana seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
“Pekan Trusan akan dibangunkan semula melalui Pelan Pembangunan Semula Pekan Trusan selain melaksanakan pelbagai projek rakyat dan program Projek Pembaharuan Bandar bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat,” katanya semasa majlis pelancaran Rumah Mampu Milik Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan, Lawas hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agung, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengurus Besar LCDA Datu Zaidi Mahdi dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood.
Projek tersebut melibatkan komponen Pejabat Daerah Kecil Trusan, anjung usahawan, bangunan rumah kedai untuk kuarters kerajaan, tamu, premis perniagaan dan kemudahan lain.
“Pada masa sama, kerajaan Sarawak turut memberi perhatian kepada usaha penyediaan skim-skim untuk perumahan bagi rakyat melalui Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS),” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan program SPS dan SPK sejak Rancangan Malaysia Ke-4 (RMKe-4) merupakan komitmen dan keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap rakyat berpendapatan rendah yang memerlukan tanah untuk mendirikan rumah.
“Di bawah peruntukan RMKe-12 dan Projek Rakyat hingga 28 Februari 2025, sebanyak 81 projek SPS dan SPK telah diluluskan bagi penyediaan 7,925 lot kediaman dengan kos pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM1.436 bilion.
“Daripada 81 projek tersebut, 24 projek telah siap sepenuhnya mengikut skop pembangunan dan baki 57 projek akan diteruskan hingga penghujung RMKe-12, iaitu tahun ini,” tambahnya.
Beliau berkata secara keseluruhan, lapan projek SPK di Lawas yang merangkumi kawasan Sundar, Trusan dan Kuala Lawas telah diluluskan dalam RMKe-12 (sambungan dan baharu) dengan keseluruhan siling peruntukan berjumlah RM97,000.
“Daripada jumlah tersebut, dua projek telah pun disediakan tapak dan kemudahan infrastruktur mengikut spesifikasi baharu, iaitu SPK Kampung Dato, Kuala Lawas dan SPK Sundar, Lawas. Sementara itu baki enam projek lain berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan, termasuk SPK Trusan yang akan dilancarkan,” jelasnya.

Awang Tengah berkata projek-projek pembangunan tanah di bawah SPK dan SPS bertujuan menyediakan rumah kediaman yang selesa dengan menyasarkan kumpulan isi rumah B40 dan M40 yang belum memiliki rumah.
“Selain membina rumah kediaman, kerajaan Sarawak turut menyediakan infrastruktur yang lengkap seperti jalan raya, parit konkrit, lot-lot yang ditembok dan sistem retikulasi bekalan air serta bekalan elektrik. Pembangunan infrastruktur mengikut spesifikasi baharu ini melibatkan purata kos sebanyak RM150,000 bagi setiap lot.
“Semua projek SPK dan SPS juga disediakan tapak untuk kemudahan awam dan kemudahan sosial seperti tadika, tempat riadah dan rumah ibadat.
Oleh Adeng Edrus