
KABONG: Persatuan Pesara Kabong (PEKA) dan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Kabong telah bergabung menganjurkan program agihan sup cendawan dan bubur kacang kepada penduduk setempat di Pusat Penjaja Kabong, petang tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata beliau amat memuji dengan penganjuran seperti itu dan menyifatkan aspek kerjasama strategik memainkan peranan penting dalam keberhasilan menganjurkan program yang memberi impak kepada komuniti.

Katanya ia mampu mengukuhkan semangat berpasukan bagi melaksanakan matlamat yang sama.
“Syabas dan tahniah kepada PEKA dan PITSA Cawangan Kabong kerana telah bergabung menganjurkan program berkongsi kepada penduduk hari ini, yang mana saya melihat ia amat menggalakkan dan meriah sekali.
“Kerjasama begini yang saya sangat suka sekali kerana setiap persatuan atau pertubuhan di dalam sesebuah kampung dapat bergabung serta berkumpul dalam satu majlis,” katanya.
Chee Kadir berkata sekiranya setiap persatuan mahupun pertubuhan dapat bergabung dalam melaksanakan sesuatu aktiviti seperti ini, maka ia dapat menjimatkan masa serta kos dalam mengendalikan sesuatu program.
Sehubungan itu, beliau berharap sikap bekerjasama dapat dikekalkan pada masa akan datang agar ikatan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan penduduk kampung dapat dikekalkan.
Chee Kadir turut menberi respon kepada permohonan Pengerusi PITSA Cawangan Kabong akan memberi kemudahan sebuah pejabat operasi kepada pihak PITSA Kabong pada masa akan datang.
Sementara itu, beliau turut menyatakan akan menaja sebanyak RM3,000 bagi membiayai yuran pendaftaran PEKA.
Dalam pada itu sebanyak 600 bekas sup cendawan telah berjaya diagihkan oleh PEKA dan 600 bekas bubur kacang telah diagihkan oleh PITSA Cawangan Kabong kepada penduduk setempat.
Turut hadir, Datin Meryani Yassin, Pengerusi PEKA, Ismail Merikan, Pengerusi PITSA Cawangan Kabong, Rojie Sabri, Kaunselor Ulin Tabur, Penghulu Sani Mohd, Penghulu Rahman @ Dom Kapok, Naib Ketua Cawangan PBB Kabong, Maini Spawi dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Kabong, Nurain Abdullah.
Oleh Adi Saparman