
MIRI: Seorang lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes langgar lari yang mengakibatkan kematian seorang pejalan kaki dalam kejadian di Jalan Dato Sri Joseph Balan Selling, berhampiran Hospital KPJ di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek berusia 20 tahun ditahan bersama sebuah kenderaan sekitar 5.17 petang semalam.
“Tangkapan dibuat hasil tindakan pantas pasukan risikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Miri selepas menerima maklumat awam berhubung penglibatan suspek dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan tadi.
Mohd Farhan berkata, kes kemalangan jalan raya maut ini disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian Khamis lalu, seorang lelaki berusia 33 tahun maut selepas dipercayai dilanggar kenderaan ketika berjalan kaki di jalan tersebut.
Kemalangan dipercayai berlaku sekitar 2.00 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Krokop bersama seorang rakan sekerja selepas dipercayai selesai minum di sebuah kedai di kawasan Permyjaya.
Oleh Liong Chai Ling